Pelajar Pendidikan Khas Usaha Projek Udang Kara


BAGAN SERAI – Dilahirkan sebagai insan istimewa bukan penghalang bagi 34 murid Program Pendidikan Khas Integriti (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu di sini mengusahakan projek penternakan akuakultur udang kara.

Projek yang diusahakan di belakang sekolah berkenaan dimulakan sejak 2015 dengan sokongan 10 guru dan empat pembantu murid itu bertujuan untuk pengajaran dan pembelajaran murid pendidikan khas.

Penyelaras projek, Sharul Azlan Sungit, 35, berkata projek penternakan udang kara itu membolehkan para pelajar berkenaan meraih pendapatan lumayan bagi tiga musim tuaian berturut-turut.

“Sepanjang pelaksanaan projek semua pelajar PPKI diberi peluang mengadaptasi persekitaran dan nilai keusahawanan dalam diri mereka.

“Mereka turut diberi pendidikan secara tidak langsung mengenai ilmu sains, matematik dan kemahiran hidup sebagai bekalan untuk keperluan apabila dewasa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sharul Azlan yang juga guru sekolah tersebut berkata dengan permulaan pelaburan RM1,200 serta sumbangan setiap guru dan pengusaha kantin sekolah itu, mereka dapat menyediakan sebuah kolam kanvas dan 20 ekor induk udang kara bagi tujuan pembenihan.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun, kesungguhan semua murid, guru dan sokongan pihak lain membolehkan lima akuarium dan tiga kolam ternakan termasuk sebuah kolam simen diwujudkan. Udang kara spesies Quadricarinatus (Red Claw) dari Australia itu dipilih kerana proses menternaknya lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata kesemua kolam itu mampu menempatkan kira-kira 2,000 benih udang kara pada setiap kitaran penternakan yang mengambil masa enam hingga lapan bulan untuk membesar.

“Menternak udang kara tidak terlalu susah kerana kita hanya perlu menyediakan makanan sesuai, selain memastikan air kolam tidak terdedah dengan suhu panas. Pantangnya jangan beri makanan berlebihan kerana ia menghasilkan ammonia,” katanya.

Sharul Azlan berkata benih udang itu dijual mengikut saiz iaitu satu hingga dua inci dengan harga RM1.50 seekor, manakala saiz dua hingga tiga inci RM2.50 seekor.

“Nilai pasaran semasa udang kara hidup mampu mencapai sekitar RM120 hingga RM150 sekilogram, manakala udang kara mati RM55 hingga RM75 sekilogram,” katanya. – BERNAMA