ALOR SETAR - Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe tidak menolak untuk menurunkan pemain-pemain simpanan pasukan kendaliannya untuk bertemu PKNP FC dalam perlawanan kedua suku akhir Piala FA pada 22 April nanti.
Namun begitu katanya, strategi menurunkan pemain simpanan itu bergantung kepada keadaan para pemain tersebut ekoran skuad Helang Merah itu juga perlu mengharungi perlawanan Liga Super pada bulan ini.
"Saya perlu lihat keadaan pemain nanti, kalau semuanya baik saya akan turunkan pemain simpanan menentang PKNP nanti kerana bulan ini kita juga ada perlawanan Liga Super," katanya kepada media, sejurus menewaskan PKNP FC, 6 - 1, malam kelmarin.
Beliau berkata, kelegaan membawa kelebihan aggregat 5 gol dalam pertemuan dengan pasukan itu dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Darul Aman memungkinkannya merehatkan beberapa pemain tonggak.
Selain itu, keadaan itu juga dilihat dapat memberi peluang kepada pemain di bangku simpanan beraksi dan menunjukkan kemampuan sebenar di dalam perlawanan.
Cheng Hoe yang bertanggungjawab membawa Piala Malaysia ke bumi Jelapang Padi pada musim lalu juga meluahkan rasa senang hati dengan prestasi yang ditunjukkan kesebelasan utama pada perlawanan menentang PNKP FC itu.
"Jika kami dapat kekalkan prestasi sedemikian kami mampu melangkah ke separuh akhir dan saya harap pemain dapat beri keyakinan apabila bertandang ke Stadium Perak nanti.
"Apa yang penting kita dapat kemenangan... kalau pemain mampu ambil peluang jaringkan gol, itulah hasil daripada kerja keras setiap pemain dan semangat juang yang begitu tinggi," katanya, mengharapkan persembahan konsisten dari setiap pemain Kedah.
Mendapat sokongan padu 25,000 penyokong, Kedah memulakan misi mencari bekalan gol selesa dengan jaringan pertama menerusi sentuhan Fitri Omar yang melakukan tendangan bebas pada minit ke-14 yang gagal di tangkap kemas penjaga gol PKNP, Ahmad Ashraff Omar.
Pelawat kemudian membuat beberapa gerakan ke pintu gol tuan rumah melalui percubaan Ahmad Sukri dan Gilberro Valdenisio, namun penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal lebih bersedia menidakkan percubaan mereka.
Fitri menambah koleksi gol untuk Kedah dengan jaringan peribadi kedua pada minit ke-29 juga menerusi tendangan bebas yang mengelirukan Ahmad Ashraff.
Skuad Helang Merah menambah derita PKNP dengan gol ketiga hasil sepakan penalti Liridon Krasniqi pada minit ke-45, selepas Farhan Roslan dijatuhkan di kanan pintu gol pasukan pelawat.
Bersambung babak kedua, PKNP terus dihukum dengan gol keempat oleh penyerang import Kedah, Ken Ilso pada minit ke-47 selepas menerima hantaran silang Farhan.
Ketika skuad Helang Merah menguasai perlawanan, pengadil terpaksa menghentikan aksi pada minit ke-58 akibat satu daripada lampu limpah stadium gagal berfungsi, namun masalah itu di atasi selepas 10 minit.
PKNP FC walau bagaimanapun masih mampu mempamerkan kehandalan mereka di Stadium Darul Aman melalui rembatan kencang Khairul Asyraf Ramli pada minit ke-83 yang mengenai palang sebelum mencecah jaring. - Kedahnews.com