Pemandu Maut Lori Terbabas Di Lebuh Raya PLUS


IPOH – Seorang lelaki maut selepas lori yang dipandunya terbabas di Kilometer 278.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, sebelum hentian Sungai Perak di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, B. Mallai Perumal, beralamat di Kulai, Johor, maut selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di dalam lori tersebut sebelum dikeluarkan oleh pihak bomba.

Ketua Polis Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata semasa kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari Kulai menuju ke arah utara atas urusan kerja tanpa membawa sebarang muatan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu tiba-tiba hilang hilang kawalan lalu terbabas melanggar batu pembahagi jalan sebelum berhenti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sum berkata mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, orang ramai yang dalam perjalanan ke utara pagi tadi terpaksa menempuh kesesakan sepanjang kira-kira 10 kilometer selepas sebuah lori yang membawa muatan manik plastik terbabas di Kilometer 289.9 berdekatan susur keluar Simpang Pulai.

Kemalangan kira-kira pukul 7 pagi itu memaksa polis melencongkan trafik ke susur keluar Gopeng bagi mengurangkan kesesakan. – BERNAMA