PENDANG - Pemimpin masyarakat seperti Penghulu dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta supaya mengambil langkah lebih proaktif untuk memantau rakyat di kawasan masing-masing.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, kehidupan masyarakat sememangnya tidak dapat dijangka di mana mereka mungkin ditimpa kesusahan atas beberapa faktor kehidupan yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa.
"Kita menggesa kepada Penghulu, Pengerusi JKKK dan pemimpin masyarakat supaya sentiasa memantau anak-anak kariah yang berada di kawasan masing-masing.
"Mungkin ada di kalangan mereka yang sudah menerima bantuan sebelum ini dan bantuan itu perlu ditingkatkan atas sebab-sebab tertentu yang munasabah dari sudut kesihatan atau masalah lain yang menghimpit kehidupan mereka.
"Juga perlu dilihat pada keperluan rakyat. Kehidupan rakyat ini progresif, sentiasa berubah dan mungkin ada kalanya mereka mengalami kesusahan," jelas beliau kepada Kedahnews.com ketika ditemui di sini, hari ini.
Jelas Suraya, tahap kesihatan mahupun bilangan ahli keluarga yang perlu ditanggung di dalam sesebuah isi rumah itu berubah dari masa ke masa dan ada kalanya rakyat memerlukan bantuan yang sewajarnya untuk mengharungi kehidupan seharian.
Justeru itu Adun Sungai Tiang itu berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sedia mengkaji semula untuk meningkatkan bantuan sedia ada kepada golongan ini sekiranya maklumat tersebut disalurkan pemimpin masyarakat.
Exco Kerajaan Negeri itu juga gusar dengan tindakan segelintir pihak, termasuk akhbar-akhbar kecil, yang sebelum ini melaporkan beberapa kes terpencil melibatkan sebilangan kecil rakyat yang mendakwa terhimpit kehidupan tanpa menerima sebarang bantuan dari pihak kerajaan atau agensi.
"Kita sangat gusar. Walaupun kes terpencil, mereka merujuk kes-kes itu kepada mereka yang tidak sepatutnya dirujuk dan tidak melalui saluran yang tepat. Sewajarnya, rujuklah terlebih dahulu kepada pemimpin masyarakat seperti penghulu atau pengerusi JKKK.
"Kebanyakan kes-kes itu sebenarnya memang mereka sudah menerima bantuan dari pelbagai agensi dan kerajaan. Ia membayangkan seolah-olah pihak kerajaan dan agensi tidak buat kerja dan bantu golongan ini sedangkan mereka memang terima bantuan setiap bulan.
"Cuma, mungkin mungkin mereka hadapi masalah-masalah tertentu yang memerlukan bantuan lebih seperti sakit dan sebagainya. Maka disinilah pentingkan pemimpin masyarakat yang menjadi lebih proaktif dan menyalurkan maklumat supaya bantuan sewajarnya boleh diberikan," ujar beliau.
Suraya sebelum itu merasmikan program Walkabout bersama Exco Kerajaan Negeri di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tokai, yang turut disertai oleh pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Dataran Petronas, Kampung Bukit Sekechong, di sini.
Beliau turut menyampaikan pelbagai bantuan kepada masyarakat setempat yang melibatkan mangsa bencana banjir, ibu tunggal, golongan petani dan nelayan darat, di sini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul.
Program berkenaan yang bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang turut disertai oleh Mada, LKIM, JPN, JPJ, Tekun, UPUK, JKM, GiatMARA, SKM, JTK, LPP, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, NEKAD, DVS, LPPKN, Jabatan Kesihatan Negeri dan banyak lagi.
Kira-kira hampir 5,000 rakyat Pendang membanjiri Dataran Petronas bagi mendapatkan pelbagai khidmat dan bantuan secara bersepadu selain memeriahkan program yang disediakan anjuran Kerajaan Negeri itu.
Antara program berkenaan adalah seperti Jualan Ikan Rakyat kepada Rakyat Q'Fish, Jualan Itik dan Sayur Segar, Jualan Telur Ayam Murah, Sukan Bendang, Penukaran Minyak Hitam dan Plug Percuma, Pemeriksaan Mamogram dan Kesihatan.
Selain itu, JPJ turut menyediakan kaunter bergerak bagi pengunjung memperbaharui cukai jalan tamat tempoh lebih setahun secara percuma. - Kedahnews.com