Penalti 100% Pengelat Cukai Bermula Tahun Depan - LHDN


KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bakal mengenakan penalti penuh 100 peratus terhadap pembayar cukai yang cuba elak atau melaporkan jumlah cukai tidak tepat bermula tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah berkata sudah tiba masanya LHDN menyediakan satu rangka kerja penalti baharu termasuk menaikkan kadar yang lebih tinggi kepada pengelak cukai.

Menurutnya, sebelum ini penalti yang dikenakan hanyalah 45 peratus daripada jumlah tunggakan namun akan ditingkatkan kepada 100 peratus selepas kajian dan audit dijalankan LHDN.

“Ini bukan keputusan drastik, sebaliknya mereka sudah diberikan tempoh dua tahun berturut-turut iaitu tahun lalu dan sebelum untuk membayar cukai, tetapi nampaknya ia tidak berhasil.

“Tahun ini masih menggunakan lagi rangka kerja penalti sama iaitu 45 peratus, tetapi tahun depan akan bermula penalti lebih tinggi,” katanya selepas merasmikan Operasi Gegar Bersepadu 2017, hari ini.

“Sebagai contoh, sekiranya jumlah cukai tertunggak RM1 juta, maka penalti yang dikenakan juga berjumlah RM1 juta. Ini bermakna pihak terbabit perlu membayar RM2 juta,” katanya lagi.

Tambahnya, tindakan menaikkan penalti ini tidak memerlukan sebarang pindaan perundangan memandangkan ia sudah sedia termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967. –Kedahnews.com