Pengawal Keselamatan Dalang Kes Curi Kilang Papan Di Kulim

Baruddin (tengah) menunjukkan plat besi yang telah dicuri dari sebuah kilang papan berjaya dirampas kembali pihak polis dalam Ops Pintu.
KULIM - "Harapkan pagar, pagar makan padi", itu yang terjadi kepada sebuah kilang papan apabila seorang pengawal keselamatan menjadi dalang dalam kes curi barangan lusuh berjumlah RM100,000.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, kejadian kecurian di sebuah stor kilang ini dipercayai berlaku pada 9 April lalu bermula jam 4.30 petang hingga 1 tengahari pada 10 April 2017.

"Kita percaya dalang disebalik kejadian ini adalah seorang pengawal keselamatan berusia 24 tahun yang baru tiga bulan bekerja di situ selain mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk mencabul, mendatangkan cedera parah, dan mencuri" katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, semalam.

Menurutnya, polis percaya kejadian sudah dirancang suspek utama yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ.

"Kita percaya kejadian ini telah dirancang suspek utama, hanya dalam tempoh lebih kurang 24 jam RM100,000 barangan lusuh jenis besi berjaya dilarikan," katanya.

Katanya, satu pasukan khas  ditubuhkan untuk memburu suspek kes tersebut dan Ops Pintu telah dilancarkan pada 12 April lalu bermula jam 3 pagi.

"Melalui ops tersebut kita berjaya menangkap sembilan suspek di kawasan Padang Serai, Butterworth dan Alma untuk membantu siasatan.

"Kesemua suspek itu berusia antara 24 hingga 45 tahun termasuk pembeli barangan lusuh tersebut seperti plat besi, motor mesin, dan nat besi yang dicuri di kilang tersebut,.

"Kita berjaya merampas 11 keping plat besi di satu kedai barangan lusuh, invois syarikat dan tiga keping deposit bank yang kita percaya ini semua berkait dengan jula beli barang kes yang dirampas," katanya.

Tambahnya, kesemua suspek juga ditahan telah menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif dadah, empat daripada mereka mempunyai pelbagai kesalahan lampau.

"Kesemua mereka telah ditahan reman selama enam hari bermula 12 April hingga 17 April dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Selain itu, Baruddin juga menasihatkan semua pihak yang menggaji pengawal keselamatan supaya merujuk kepada pihak polis untuk pantauan.

"Kita boleh periksa rekod pengawal keselamatan tersebut sekiranya pihak yang menggaji pengawal syarikat ada memaklumkan kepada kita.

"Kita juga nasihatkan syarikat ini memasang CCTV untuk menjaga keselamatan kawasan mereka," katanya.

Sumber: Sinar Harian