Pentingkan Kroni: 500 Akar Umbi PPBM Keluar Parti, 1,500 Bakal Menyusul


ALOR SETAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat terus berantakan apabila lagi 500 ahli parti tersebut mengumumkan keluar dari parti itu semalam dan difahamkan bahawa  seramai 1,500 lagi akar umbi parti itu akan mengikut jejak langkah mereka.

Bekas Ketua Aktivis PPBM Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin berkata, kesemua ahli tersebut mengambil langkah meninggalkan parti berkuat kuasa malam semalam ekoran daripada kecewa dengan kepimpinan parti Tun Dr Mahathir Mohamad yang tiada hala tuju dan hanya mementingkan kroni sahaja.

"Ini adalah permulaan kerana selepas ini saya yakin seramai 1,500 lagi ahli di Rembau akan mengikut langkah sama dalam waktu terdekat.

"Gerakan ini dimulakan oleh saya. Kami kerja siang malam untuk menggerakkan parti ini, tapi apa yang mengecewakan bila sampai waktu melantik ketua bahagian dan jawatankuasa kami dipinggirkan," katanya.

Tambah Mohd Anas, akar umbi di bahagian itu kecewa dengan tindakan parti tersebut yang menganaktirikan generasi muda dan memilih pemimpin yang sudah lanjut usia seperti di Bahagian Rembau dan langsung tidak menjalankan tugasnya.

"Macam mana nak gerakkan parti kalau macam ini sedangkan pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi dan mereka yang dilantik pula langsung tak buat kerja," katanya.

Menurut Mohd Anas lagi, hanya di Negeri Sembilan sahaja yang masih lagi belum melantik Pengerusi Perhubungan Negeri dan Ketua Bahagian.

Disebabkan itu, beliau melihat bahawa kepimpinan parti Mahathir tersebut seperti tidak serius dan tidak komited dalam menghadapi pilihan raya yang bakal tiba tidak lama lagi.

Oleh yang demikian, Mohd Anas membuat keputusan untuk mengadakan  siri jelajah di Negeri Sembilan dan seluruh negara  bagi membukan mata ahli PPBM serta mengajak mereka untuk meninggalkan parti berkenaan. – Kedahnews.com