Penyelia Selenggara Bangunan Maut Jatuh Aras 14 Di Sabah


KOTA KINABALU – Seorang penyelia selenggara bangunan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 14 sebuah pangsapuri di Kampung Nounton, Inanam dekat sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Supt George Abd Rakman berkata dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa Wong Vee Au, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan patah tangan kanan.

George berkata kejadian itu disedari oleh beberapa pekerja pengubah suai rumah di lokasi terbabit selepas mendengar jeritan mangsa.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di tingkat tiga bangunan pangsapuri berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang bertugas sebagai seorang penyelia kontrak kerja penyelengaraan bangunan itu sedang melakukan kerja seorang diri di tingkat 14 sebelum dilaporkan terjatuh,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

George berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut selain tiada unsur-unsur jenayah dilaporkan berlaku. – BERNAMA