Seorang penyiasat kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) cedera akibat disimbah asid ketika dalam perjalanan pulang dari masjid selepas mengerjakan solat Subuh.
Novel Baswedan yang cedera di muka diserang individu tidak dikenali dalam kejadian pada awal pagi Selasa itu.
Novel bertanggungjawab menjalankan siasatan terhadap berpuluh-puluh ahli politik negara itu.
Siasatan terhadap penyelewengan dana AS$170 juta (RM754 juta) untuk pembelian kad pengenalan elektronik, e-KTP adalah kes terbesar dikendalikan agensi berkenaan.
Dua tertuduh yang dibicarakan atas tuduhan rasuah itu memberitahu mahkamah sekurang-kurangnya 37 ahli politik mendapat manfaat daripada dana berkenaan termasuk Speaker parlimen, Novanto.
Isnin lalu, KPK menghalang Novanto daripada ke luar negara selama enam bulan.
Susulan itu, KPK mengecam serangan terhadap Novel dan menegaskan ia tidak akan menggugat semangat agensi itu dalam memerangi dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Jakarta, Mochammad Iriawan berkata, Novel dirawat di hospital akibat cedera di mata dan muka.
Menurut KPK lagi, kejadian itu bukan kali pertama Novel diserang dan agensi itu tidak gentar dengan tindakan demikian.
Novel sebelum ini hampir ditangkap polis selepas menyiasat kes rasuah berkaitan pegawai polis dan pernah menjadi sasaran serangan langgar lari.
Kami mengecam keras serangan tidak bertamadun terhadap Novel. Kami juga tidak akan berhenti memerangi rasuah,” kata KPK.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mahu polis segera menyiasat serangan berkenaan dan menggesa pegawai KPK berwaspada.
“Ini adalah satu serangan kejam. Semua penyiasat perlu berjaga-jaga dan bekerja keras,” tegasnya.
Sumber: mStar