Pereka Baju Raya Hello Kitty Tak Jual Walau Ditawar Lebih RM3,000


PETALING JAYA - Tular di media sosial dengan pelbagai kritikan netizen apabila bekas graduan rekaan fesyen menghasilkan busana Aidilfitri 2017 bermotifkan Hello Kitty.

Malah ada netizen menganggap fabrik watak fiksyen itu hanya sesuai untuk dijahit cadar dan langsir, tetapi berbeza pula dengan peminat fanatik Hello Kitty apabila sanggup membeli busana itu tanpa mengira harga yang ditawarkan.

Terkejut dengan perhatian yang diterimanya, pereka yang hanya mahu dikenali sebagai Zabir Arfan itu menganggap ia suatu dorongan untuk terus menimba pengalaman dalam bidang yang baru diceburinya.

Pemuda berusia 22 tahun ini berkata, rekaan yang dimuatnaik ke laman sosial itu bagi memperkenalkan dirinya sebagai tukang jahit selepas tamat mengikut pengajian dalam bidang rekaan fesyen.

Katanya, kos keseluruhan empat baju yang dibuat khas sebagai koleksi Aidilfitri 2017 termasuk sesi penggambaran fesyen itu dianggarkan kira-kira RM3,000.

"Ada peminat fanatik Hello Kitty sanggup beli berapa sahaja harga yang saya tawarkan.

"Kalau ada yang sanggup tawar harga tinggi lebih dari RM3,000, saya tetap dengan keputusan untuk tidak menjualnya," katanya.


Koleksi baju raya berinspirasikan Hello Kitty yang dihasilkan Zabir Arfan terdiri daripada baju kurung moden, baju kebaya moden, dress labuh potongan duyung dan baju Melayu.

Bagaimanapun, bekas pelajar Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) ini berkata, ada pihak yang mencadangkan supaya koleksi itu disewa untuk majlis tertentu atau sesi fotografi.

"Mungkin saya hanya sewakan, tetapi bukan untuk dijual. Bagaimanapun cadangan itu akan dipertimbangkan," katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, keputusan itu bukan bermakna dia mendabik dada dan menganggap dirinya sebaris pereka fesyen tersohor tanah air.

"Ingin saya jelaskan apa yang saya paparkan kepada umum bukan kerana saya peminat fanatik Hello Kitty. Apa yang saya buat hanya kerana minat dan hobi.

"Walaupun saya belajar rekaan fesyen tetapi saya masih anggap diri ini sebagai tukang jahit, bukannya pereka fesyen. Saya perlu timba banyak pengalaman," katanya yang kini mengambil tempahan menjahit baju raya.

Mengenai reaksi netizen, Zabir Arfan tidak menyangka koleksi tersebut secara tiba-tiba menjadi perhatian ramai.

"Ada yang puji kata cantik dan comel terutama dalam kalangan peminat fanatik Hello Kitty. Malah ada yang mahu dibuat baju raya sedondon untuk seisi keluarga.

"Kecaman pun ada, mereka kata tak sesuai pakai masa Aidilfitri, tak menghormati perayaanlah, tak sesuai dipakai orang dewasalah, malah dikatakan corak yang besar seperti itu hanya sesuai dijadikan kain langsir atau cadar.

"Biarlah apa orang nak kata, saya tak melatah. Masih ramai yang menyokong saya, terima kasih di atas sokongan anda semua," katanya.

Ditanya adakah serik untuk membuat koleksi berinspirasikan seumpama itu pada masa akan datang, Zabir Arfan berkata: "Tidak, sebab ia adalah minat saya dan akan menjadikannya sebagai koleksi peribadi, mungkin selepas ini saya merancang mahu buat koleksi baju berinspirasikan kartun Popeye, Digimon dan Pokemon pula."

Sumber: mStar