Pergi Demi Negara, Tapi Hati Saya Tetap Bersama Kedah - TCH


ALOR SETAR - "Saya pergi demi negara, tapi hati saya tetap kekal bersama Kedah", itu kata-kata Tan Cheng Hoe apabila mengesahkan beliau telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Kedah kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sekaligus menamatkan kontraknya lebih awal.

Cheng Hoe ketika dihubungi Kedahnews.com berkata, keputusan tersebut amat sukar buat dirinya, namun beliau perlu melihat masa depan untuk memberi khidmat baktinya buat negara selain menimba pengalaman yang lebih luas di peringkat kebangsaan.

"Hasrat saya adalah untuk berbakti kepada negara kita. Saya harap akan dapat belajar lebih lagi dan mendapat pengalaman berharga bersama pasukan kebangsaan," katanya kepada Kedahnews.com.

Walau bagaimanapun kata Cheng Hoe, beliau masih menunggu jawapan dari KFA berkenaan permohonannya itu untuk tindakan susulan mengenai hasratnya bersama skuad Harimau Malaysia.

Difahamkan, Ketua Jurulatih Kedah yang bertanggunjawab membawa pulang Piala Malaysia musim lalu ke Kedah dan kini berada di puncak Liga Super telah ditawarkan jawatan Penolong Jurulatih skuad kebangsaaan, di sisi Mario Gomez.

Selain itu dalam satu kenyataan berasingan, Cheng Hoe mengharapkan agar seluruh peminat bola sepak negeri Kedah supaya memahami keputusannya untuk meninggalkan pasukan Helang Merah itu.

"Saya harap semua pihak termasuk penyokong memahami keputusan untuk meletak jawatan,"

"Saya berharap peminat dan pemain serta barisan kejurulatihan dapat memahami keputusan saya meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Kedah, walaupun sukar tapi saya perlu berbuat demikian untuk membantu skuad kebangsaan.

"Setelah bersama Kedah sejak pertengahan 2015, saya telah mendapat kerjasama dari pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dengan baik selain pemain dan rakan setugas. Terima kasih kepada semua.

"Saya melalui banyak pengalaman manis bersama kedah kerana kami berjaya menjuarai Liga Premier, naib juara Piala Malaysia 2015 dan menjuarai Piala Malaysia serta menduduki tempat ketiga pada tangga Liga Super musim lalu," katanya dalam kenyataan tersebut.

Difahamkan, penolong Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof akan menggantikan tempat Cheng Hoe.

"Saya yakin Nidzam dapat membimbing pasukan ini kerana sebelum saya dilantik sebagai ketua jurulatih, beliau merupakan individu penting di sini, malah beliau juga telah berjaya membimbing skuad ini ketika ketiadaan saya.

"Kejayaan Kedah tidak terletak pada saya sahaja tetapi pemain yang ada kerana mereka telah memberi komitmen dan berjuang demi Kedah,"katanya lagi.

Penerima anugerah Jurulatih tTerbaik 2016 itu turut mengesahkan dirinya akan menyertai skuad kebangsaan sebagai penolong jurulatih dan telah meletak jawatan dari skuad Hijau Kuning.

Perletakan jawatan itu dikatakan telah dibuat selepas Kedah menewaskan PKNP 6-1 dalam siangan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman pada Sabtu lalu. - Kedahnews.com