Pesta Songkran Antara 4 Program Tahunan Kekal Budaya Masyarakat Siam Di Kedah


SIK - Meskipun masyarakat Siam merupakan antara etnik minoriti di negeri Kedah, namun Kerajaan Negeri tetap memberikan keutamaan dengan memperuntukkan empat program penting kepada mereka setiap tahun.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, peruntukan bagi program Pesta Songkran, Muaythai, Bola Sepak dan Pesta Loykrathong menunjukkan kesungguhkan kerajaan negeri dalam usaha memastikan budaya masyarakat Siam tidak dilupakan.

"Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan empat program kepada masyarakat Siam setiap tahun iaitu pesta songkran, muaythai, bola sepak dan pesta loykrathong.

"Ini membuktikan kerajaan hari ini amat komited dan prihatin kepada semua golongan masyarakat termasuklah masyarakat minoriti Siam.

"Kerajaan akan pastikan supaya kebudayaan dan pegangan semua kaum termasuk masyarakat sentiasa terbela dan terus kekal," kata Ahmad Bashah ketika berucap merasmikan Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah, di Samnaksong Thepsawan, Kampung Chong, di sini hari ini.

Ahmad Bashah berkata, Pesta Songkran yang diadakan hari ini adalah selaras dengan konsep Muafakat Kedah dan 1Malaysia yang menjadi teras dan cita rasa kerajaan ke arah pemupukan perpaduan masyarakat pelbagai kaum.

Kata beliau, program kebudayaan itu juga merupakan adalah simbol perpaduan dan penghormatan di antara kaum di negara ini tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya.

Selain itu, Menteri Besar itu turut menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus mendengar suara masyarakat Siam di negara ini dengan melantik senator dari kalangan wakil etnik itu meskipun dianggarkan hanya berjumlah 70,000 orang di seluruh negara.

"Di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan telah memberi pengiktirafan yang tinggi kepada masyarakat minoriti Siam apabila telah melantik empat orang senator.

"Mereka mewakili masyarakat Siam di parlimen hingga hari ini walaupun dianggarkan terdapat hanya 70,000 orang masyarakat Siam di negara ini," katanya lagi.

Ahmad Bashah turut menjelaskan bahawa beliau sedar tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat Siam di Kedah dan berikrar untuk berusaha menyelesaikan setiap permasalahan itu mengikut peruntukan perundangan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Saya faham dan mengambil maklum tentang pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi masyarakat Siam di negeri Kedah yang belum selesai sepenuhnya seperti Tanah Rezab Melayu, Sijil Pertanian, Tanah Wat dan Perkuburan Siam, Pembelian Rumah dan beberapa isu lain.

"Saya ingin jelaskan bahawa dengan kuasa yang saya ada selaku Menteri Besar, saya akan selesaikan segala isu dan permasalahan masyarakat Siam mengikut Akta dan Undang-Undang yang sedia ada," ujar beliau.

Memahami tentang naluri masyarakat Siam yang menjadi penyokong tegar kerajaan dari dahulu hingga kini, beiau mahu segala permasalahan itu diselesaikan seberapa segera.

"Kerajaan tidak akan menafikan hak masyarakat Siam yang juga bertaraf bumiputera dan rumpun Melayu. Kerajaan tidak pernah membiarkan masyarakat Siam tersisih daripada arus pembangunan negara," tegas beliau tentang komitmen Kerajaan BN negeri Kedah.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah Samnaksong Thepsawan, Kampung Chong, di sini,

Turut hadir di majlis berkenaan adalah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Leong Yong Kong, Datuk Mohd Tajudin Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri, Mahathir Abdul Hamid dan Adun Pedu, Kama Noriah Ibrahim, serta pemimpin masyarakat Siam dari seluruh negeri Kedah. -Kedahnews.com