PEMILIHAN jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe sebagai pembantu jurulatih skuad negara bukan perancangan untuk melemahkan pasukan Kedah.
Sebaliknya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata pemilihan yang dilakukan ketua jurulatih, Mario Gomez adalah atas dasar Cheng Hoe merupakan jurulatih terbaik tempatan ketika ini.
Menurutnya, Gomez diberi kebebasan untuk memilih sesiapa sahaja yang beliau mahu bekerjasama.
"Mario sendiri menyatakan beliau berminat dengan Tan Cheng Hoe kerana daripada ramai jurulatih tempatan, dia adalah yang terbaik baginya. Tetapi, ia terpulang kepada Tan Cheng Hoe untuk menerimanya atau tidak.
"Ini bukan perancangan untuk menjatuhkan mana-mana pihak seperti yang diuar-uarkan oleh mereka di media sosial yang sehingga hari ini belum pernah berdepan dengan saya," katanya dalam satu entri di laman Facebook FAM, lewat malam tadi.
Menurut Tunku Ismail, selain Cheng Hoe, Gomez juga memilih Raul Longhi iaitu penolong jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz, jurulatih kecergasan dari luar negara dan koordinator pasukan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Tunku Ismail berkata demikian bagi menjawab isu ditimbulkan di laman sosial yang melaga-lagakan penyokong seperti berita pemilihan Cheng Hoe bertujuan melemahkan pasukan Kedah yang kini cemerlang dalam saingan Liga Malaysia.
"Saya berharap penyokong pandai menilai sendiri pihak yang selalu menguar-uarkan isu kecil dengan pihak yang memberi sumbangan bagi mengubah landskap bola sepak tempatan. Jangan hanya tahu melaga-lagakan penyokong sahaja," katanya.
Tunku Ismail berkata beliau sedia bersemuka dengan mana-mana individu serta telus bagi menyelesaikan masalah atau persoalan demi meningkatkan mutu bola sepak negara dan skuad kebangsaan.
"Saya akan pergi ke semua negeri untuk mesyuarat Exco FAM dan sesi bersama penyokong. Kepada anda yang tidak puas hati boleh bertanya terus dan berkongsi pendapat dengan saya. Saya bukan individu yang suka bersembunyi dan tidak tahu apa-apa.
"Jika ada individu atau pihak yang suka memperbesarkan isu yang remeh-temeh, melagakan orang daripada mencari jalan penyelesaian, itu terpulang kepada mereka.
Mentaliti penyokong sekarang perlu diubah," katanya.
Sementara itu, mengenai Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang tidak membenarkan penyokong JDT memasuki Stadium Darul Makmur bagi aksi suku akhir pertama Piala FA, Sabtu lepas, beliau menyifatkan itu sebagai isu kecil dan tidak perlu diambil tindakan.
Katanya, PBNP dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) perlu duduk semeja berbincang dan menyelesaikan masalah tersebut supaya ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
Justeru, Tunku Ismail meminta anggota gabungan dan pasukan bertanding mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan FAM atau Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).
"Jangan pula nanti bila dikenakan tindakan atau denda kepada pasukan dan kelab, penyokong akan menyalahkan FAM atau FMLLP. Jadi untuk isu itu, pada saya ia tidak perlu disiasat dan diambil tindakan.
"Cukup sahaja jika PBNP, PBNJ dan FAM duduk semeja untuk selesaikan isu tersebut, dan pastikan ia tidak terjadi lagi," katanya yang dijangka mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingan hari ini. –Bernama