PKPIM Saran Sekolah Satu Aliran Guna Bahasa Melayu


KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyarankan agar kerajaan menyemak semula Akta Pendidikan 1996 dan hanya mewujudkan sekolah satu aliran di negara ini.

Presidennya, Muhammad Khair Sujud berkata, penubuhan sekolah satu aliran adalah relevan dan sesuai dilaksanakan dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

“Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bagi menyatu-padukan masyarakat majmuk di negara ini.

“Namun seharusnya dilaksanakan dengan menghormati sensitiviti masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Muhammad Khair berkata, PKPIM membuat cadangan itu bagi mengangkat Falsafah Pendidikan Negara sebagai asas pelaksanaan sebarang dasar berkaitan pendidikan.

Cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pernah dikemukakan pada tahun 2000.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan hebat pembangkang terutama DAP yang mahu sekolah jenis kebangsaan Cina dipertahankan. –Kedahnews.com