PKR Janji Dedah PAS “Makan” Duit 1MDB


ALOR SETAR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi jaminan dan berjanji akan membuat pendedahan serta menyatakan bukti berhubung dakwaan pemimpin PAS yang dikatakan telah menerima  wang 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Naib Presiden PKR,  Rafizi Ramli dilaporkan berkata, beliau akan mendedahkan bukti-bukti tersebut pada minggu ini dan akan segera membuat laporan kepada  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhannya itu.

"Insya-Allah minggu ini," katanya ringkas, memetik Sinar Online.

Ahli Parlimen Pandan tersebut berkata demikian sebagai mengulas cabaran yang dibuat oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah yang mnecabar supaya Rafizi mengemukakan bukti yang kukuh berkenaan tuduhannya tersebut.

Sebelum ini, Mohd Nor mendakwa bahawa Rafizi sengaja mereka-reka cerita bagi memburukkan nama parti Islam tersebut dan hanya menyebut “orang rapat dengan pemimpin PAS” sahaja yang menerima wang 1MDB tanpa menyebut nama pemimpin berkenaan.

“Dengan menyebut ‘orang yang rapat’ dengan pimpinan PAS sahaja, adakah berkualiti fitnah itu? Jika benar sekalipun ‘rapat’, adakah rakan rapatnya juga terpalit kalau seseorang itu berbuat onar?” soal Mohd Nor. – Kedahnews.com