PLUS Ingatkan Pengguna Lebuhraya Tarikh 26 April


JOHOR BAHRU – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihati pengguna lebuh raya itu supaya bersedia dengan pelaksanaan sistem pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya di semua plaza tol seluruh negara mulai 26 April ini.

Pengurus Besar Operasi PLUS, Norbayati Manap berkata ini kerana pihaknya mengesan terdapat kira-kira 200,000 pengguna lebuh raya itu masih menggunakan pembayaran tol secara tunai.

“Tiada lagi bayaran tol secara tunai akan dikendalikan di plaza tol dan pengguna perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai pelaksanaan sistem kutipan tol secara elektronik sepenuhnya di sini semalam.

Katanya, pelaksanaan sistem kutipan itu sudah dilakukan secara berperingkat sejak 2008 di utara dan selatan Semenanjung Malaysia termasuk Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 iaitu Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau.

Beliau berkata pelaksanaan fasa terakhir pada 26 April ini melibatkan 71 buah lagi plaza tol dari Juru hingga Skudai.

Norbayati berkata ketika ini, kira-kira 92 peratus daripada keseluruhan pengguna lebuh raya PLUS membayar tol menggunakan system elektronik sekali gus membantu pengguna membayar tol dengan mudah, lebih pantas dan lebih selesa.

Menurutnya, pihaknya membelanjakan lebih RM3 juta bagi meningkatkan kesedaran pengguna terhadap pelaksanaan sistem kutipan tol secara elektronik termasuk promosi dan pemasangan papan tanda.

Beliau berkata PLUS turut memperluaskan penyediaan kiosk layan diri bagi pengguna membeli dan tambah nilai kad termasuk di Plaza Tol Pagoh, Ayer Keroh, Dengkil, Simpang Pulai, Sungai Perak dan Gunung Semanggol.

“Di Johor, kita mengenal pasti kira-kira 80 peratus pengguna masih membuat bayaran secara tunai iaitu di Plaza Tol Machap, Plaza Tol Pagoh dan Plaza Tol Tangkak.

Selain itu, katanya, PLUS juga bercadang melaksanakan sistem pembayaran tol secara elektronik sepenuhnya di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT 2, Oktober ini. – BERNAMA