PM Lancar JR Plus, Jentera BN Hadapi PRU-14


KUALA LUMPUR – Lebih 5,000 anggota pergerakan sayap UMNO dan Barisan Nasional (BN) hadir memeriahkan pelancaran jentera parti yang dijenamakan semula sebagai Jalinan Rakyat (JR) Plus.

Ia dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam sebagai jentera menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Beliau yang merupakan Presiden UMNO, parti teras komponen BN; turut meletakkan keyakinan untuk JR Plus mempertahankan pemerintahan kerajaan pada PRU yang akan diadakan sama ada pada tahun ini atau tahun depan.

Keyakinan tersebut diukur berdasarkan kepada semangat luar biasa yang ditonjolkan seluruh jentera parti itu untuk memastikan kemenangan tetap milik BN termasuk misi merampas tiga buah negeri dikuasai pihak pembangkang.

“Bila kita nak menang perang? PRU-14 sama ada diadakan tahun ini atau tahun depan, tahun ini pun boleh menang, tahun depan pun insya-Allah boleh menang. Semangat kita kuat dan luar biasa, sudah tidak sabar nak lawan.

“Ini semangat kepahlawanan. Saya harap kita boleh buat persiapan atau kesiapsiagaan cukup rapi. Saya percaya, sebelum melakukan kerja besar, kita perlu buat persiapan rapi sehingga tiada satu batu pun tertinggal,” katanya.

JR Plus berfungsi sebagai platform bersama jentera UMNO dan BN menghadapi PRU menggabungkan jentera pilihan raya sayap UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri serta penyertaan komponen BN dan sayap masing-masing.

JR asalnya dilancarkan pada 7 Ogos 2009 lalu menggantikan Konsep Ketua 10 (K10) yang diguna pakai Pergerakan Wanita UMNO, merupakan pendekatan lebih strategik bagi menjalin hubungan lebih rapat dan erat dengan rakyat.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; pimpinan tertinggi UMNO dan sayap serta pemimpin parti-parti komponen BN. – Agensi