Polis Kedah Rampas Dadah Bernilai RM100,000 Di Alor Setar


ALOR SETAR - Polis Kedah merampas pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM100,000 dalam satu operasi di Jalan Tuanku Haminah, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Superintendan Helmi Aris, seorang lelaki berusia 35 tahun turut ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam dalam operasi itu.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Corrola Altis.

"Bagaimanapun, pemandu terbabit bertindak agresif apabila mengundur kenderaan dinaikinya dan cuba melanggar kereta pasukan polis terlibat, sebelum berjaya dithan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan polis menemui dadah yang disorokkannya dalam bungkusan plastik diletakkan pada tempat alas kaki bahagian penumpang hadapan kenderaan.

Katanya, polis merampas tujuh paket plastik disyaki syabu, satu bungkusan disyaki heroin, satu paket berisi 90 pil disyaki ecstacy dan 1170 pil eramin 5 dalam sebuah kotak disembunyikan lelaki itu.

Menurut beliau, penahanan lelaki tempatan itu juga membawa kepada penemuan 22 paket plastik syabu dan 300 biji pil ecstacy lagi di kediamannya di Taman Nuri.

Katanya, secara keseluruhan, polis menemui syabu seberat 1.09 kilogram (kg),heroin seberat 234 gram (g), 1170 pil eramin 5 dan 390 pil ecstacy dalam pemeriksaan di dua lokasi itu.

Katanya, siasatan mendapati suspek yang tidak memiliki pekerjaan terbabit positif dadah jenis amphetamine dalam ujian saringan air kencing dilakukan polis.

Menurut beliau, lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 52 kerana mengedar dadah, dan direman seminggu sehingga 13 April.

Jika sabit kesalahan, lelaki terbabit bolehkan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Sumber: Sinar Harian