Polis Kedah Selamatkan 3 Wanita Thai Mangsa Eksploitasi Seks


ALOR SETAR – Polis menyelamatkan tiga wanita warga Thailand yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks di sebuah hotel bajet di Jalan Lengkok Sari, di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Datuk Mohd Nashir Ya berkata tiga wanita yang berumur antara 24 dan 31 tahun itu diselamatkan sepasukan polis dalam ‘Op Pintas’ yang dijalankan pada pukul 10.30 malam.

“Serbuan dilakukan Unit Anti Pemerdagangan Manusia dan Unit Anti Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah.

“Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang merupakan penjaga premis itu turut ditahan untuk siasatan lanjut manakala kesemua wanita berkenaan ditempatkan di pusat perlindungan sementara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan berkaitan kegiatan pelacuran termasuk 43 kondom, satu tiub KY Jelly dan buku catatan pelanggan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Eksploitasi Seks). – BERNAMA