Polis Selamatkan 26 Wanita Mangsa Pemerdagangan Manusia Di Bukit Mertajam


BUKIT MERTAJAM – Polis menyelamatkan 26 wanita Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Kulim, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata kesemua wanita berusia antara 22 dan 42 tahun itu diselamatkan dalam serbuan pada pukul 6 petang dan dihantar ke rumah perlindungan untuk siasatan lanjut.

“Dalam serbuan ke premis dua tingkat itu, polis turut menahan dua wanita tempatan berusia 47 dan 48 tahun yang merupakan majikan mereka serta seorang penyelia di situ iaitu wanita Indonesia berumur 46 tahun.

“Siasatan awal mendapati syarikat itu menjalankan perniagaan perkhidmatan mencuci dari rumah ke rumah dan semua wanita asing itu diperdagangkan untuk tujuan eksploitasi buruh,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata polis merampas 33 keping slip gaji milik pekerja serta 41 keping kad perakam waktu dan kesemua wanita itu mempunyai dokumen perjalanan serta permit kerja dan telah bekerja dengan syarikat itu sejak dua hingga tiga tahun lepas.

“Mereka mendakwa bekerja lapan jam sehari serta dibayar RM30 sehari dan diarah bekerja setiap hari tanpa cuti, tidak dibenar menggunakan telefon bimbit, tidak boleh pergi ke mana-mana, tidak dibenar beribadat dan tidak boleh memiliki wang dalam simpanan sendiri,” katanya. – BERNAMA