ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dijangka tidak mempunyai sebarang masalah untuk menang besar dan menguasai 36 Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.
Selain itu, turut dijangka parti berkenaan juga dijangka bakal menyapu bersih ke semua 15 Parlimen di negeri ini.
Jangkaan berkenaan dibuat berdasarkan pengaruh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Dato' Seri Mukhriz Mahathir, yang merupakan anak kelahiran negeri Kedah.
Fakta menunjukkan Pengerusi PPBM itu dilahirkan di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, manakala Mukhriz juga difahamkan turut dilahirkan di daerah ini pada November 1964.
Meskipun kedua pemimpin utama PPBM itu lebih banyak meluangkan masa dan bermastautin di ibu negara, namun asal-usul mereka sebagai anak Kedah dianggap sebagai salah satu faktor untuk mereka mendapat sokongan dari rakyat di negeri ini.
Selain itu, antara faktor yang bakal membantu kemenangan PPBM di negeri ini adalah pengaruh besar yang diperoleh menerusi media sosial yang menyaksikan mereka menerima jumlah 'like' paling banyak dari kalangan netizen.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada 'like' yang berjumlah besar itu datangnya dari kalangan pengundi di negeri Kedah atau negeri lain.
Jangkaan PPBM bakal menguasai Kedah pada PRU ke-14 juga dilihat dari sudut faktor 'aura' Mukhriz yang dikatakan hanya memerlukan kira-kira empat bulan saja untuk merampas Kedah dari tangan PAS pada PRU ke-13 yang lalu.
Terdapat dakwaan kuat dari penyokong-penyokong bekas Menteri Besar itu yang mendakwa kemenangan Barisan Nasional pada PRU yang lalu itu sebenarnya hanyalah berdasarkan faktor 'aura' Mukhriz yang dijanjikan sebagai Menteri Besar Kedah.
Walaupun Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan Mukhriz bakal menjadi Menteri Besar sekiranya Kedah diambil alih oleh BN hanya sehari sebelum tempoh pembuangan undi, dikatakan rakyat Kedah menolak PAS atas faktor tersebut.
Sementara itu, juga merujuk kepada pemilihan Ketua-Ketua (Penaja) Bahagian PPBM Kedah yang digambarkan berlatar belakang yang hebat, berkelulusan tinggi dari universiti ternama dan memiliki daya kebijaksanaan politik yang tinggi, dijangka akan dapat menarik ramai pengundi memberikan mandat kepada parti tersebut.
Antara faktor lain yang akan memenangkan PPBM di negeri ini juga adalah sokongan kuat dari sekutu parti berkenaan seperti DAP, Parti Amanah Negara (PAN), PKR dan segelintir pemimpin PAS yang dilihat memihak kepada Pakatan Harapan.
Yang terkini, desas-desus mendakwa bahawa parti serpihan UMNO itu dijangka bakal bertanding di 30 kerusi Dun dan 10 kerusi Parlimen, manakala bakinya dijangka akan diserahkan kepada rakan sekutu mereka.
Sekiranya PPBM menang besar di Kedah pada PRU ke-14 nanti, dijangka bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato' Azimi Daim bakal dilantik sebagai Menteri Besar yang baru memandangkan pengalaman beliau bersama Kerajaan Negeri sebelum ini.
Mukhriz pula dikatakan lebih bertumpu di peringkat Parlimen dan berminat untuk mengisi jawatan Menteri Kanan di peringkat Kerajaan Pusat sekiranya Pakatan Harapan berjaya menguasai Putrajaya pada PRU ke-14.
Namun begitu, jangkaan ini hanyalah berdasarkan pemerhatian di media sosial dan desas-desus di peringkat akar umbi penyokong parti berkenaan menjelang PRU ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi. - Kedahnews.com