PPBM Pendang Dicabar Buktikan Tohmahan, Tunjuk Di Mana 4,000 Ahli


PENDANG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Pendang dicabar supaya mengemukakan bukti kukuh yang menyatakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini mengugut penduduk kampung supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti parti baru itu.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob yang menyangkal keras tohmahan itu menggesa agar Ketua PPBM Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis mengemukakan nama JKKK yang dimaksudkan.

"Saya ingin sangat nak tahu siapa yang dia maksudkan. Kalau boleh Razak buktikan konon JKKK di sini sampai ke tahap itu tergamak mengugut rakyat Pendang," katanya ketika ditemui Kedahnews.com, di sini pagi ini.

Abdul Razak dalam ucapan merasmikan pejabat PPBM Bahagian Pendang baru-baru ini menuduh JKKK di kawasan ini mengugut penduduk kampung supaya tidak melibatkan diri dalam majlis anjuran parti baru tersebut.

Kata Ketua Bahagian PPBM Pendang itu, penduduk kampung yang dilihat hadir ke majlis PPBM diugut akan dirobohkan rumah Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) mereka atau permohonan untuk memiliki skim bantuan rumah mereka tidak diluluskan JKKK.

Suraya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang itu menasihati pemimpin akar umbi PPBM di Parlimen Pendang supaya menyalahkan UMNO sekiranya majlis mereka tidak mendapat sambutan orang ramai.

Sindir beliau, PPBM yang selama ini mendakwa kononnya mendapat sambutan hangat rakyat sepatutnya membina kekuatan sendiri tanpa menyalahkan mana-mana pihak dan menyebarkan dakwaan yang tidak benar terhadap UMNO.

"Katanya mereka sebuah parti yang 'favourite', jadi tunjukkanlah bukti kononnya dapat sambutan orang di sini," ujar beliau, menyindir majlis perasmian pejabat PPBM Bahagian Pendang yang hanya dihadiri kira-kira 50 ahli parti itu dan segelintir ahli Parti Amanah Negara (PAN).


Selain itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pendang itu juga menyatakan rasa hairan beliau tentang dakwaan kononnya PPBM telah berjaya mengumpul kira-kira 4,000 ahli di parlimen itu.

Ujar beliau, sekiranya benar bagai didakwa, PPBM Bahagian Pendang harus menunjukkan kekuatan dengan kehadiran yang ramai di program anjuran mereka dihadiri ribuan ahli parti sebagaimana yang dihebohkan.

"Kalau dia boleh buktikan ahlinya konon sampai 4,000 orang, tunjuklah. Sampai ke hari ini kita masih menunggu dia buktikan 4,000 ahli PPBM di Pendang ini. Kenapa 4,000 ahli itu tidak hadir ke majlis PPBM itu?," katanya menempelak pedas parti baru tersebut.

Suraya hari ini merasmikan program Walkabout bersama Exco Kerajaan Negeri di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tokai, yang turut disertai oleh pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Dataran Petronas, Kampung Bukit Sekechong, di sini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul.

Program berkenaan yang bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang turut disertai oleh Mada, LKIM, JPN, JPJ, Tekun, UPUK, JKM, GiatMARA, SKM, JTK, LPP, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, NEKAD, DVS, LPPKN, Jabatan Kesihatan Negeri dan banyak lagi.

Kira-kira hampir 5,000 rakyat Pendang membanjiri Dataran Petronas bagi mendapatkan pelbagai khidmat dan bantuan secara bersepadu selain memeriahkan program yang disediakan anjuran Kerajaan Negeri itu.

Antara program berkenaan adalah seperti Jualan Ikan Rakyat kepada Rakyat Q'Fish, Jualan Itik dan Sayur Segar, Jualan Telur Ayam Murah, Sukan Bendang, Penukaran Minyak Hitam dan Plug Percuma, Pemeriksaan Mamogram dan Kesihatan.

Selain itu, JPJ turut menyediakan kaunter bergerak bagi pengunjung memperbaharui cukai jalan tamat tempoh lebih setahun secara percuma. -Kedahnews.com