PENDANG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Pendang menuduh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini mengugut penduduk kampung supaya tidak hadir ke majlis parti baru ini.
Ketua Penaja Bahagian itu, Abdul Razak Khamis berkata, penduduk kampung yang dilihat hadir ke majlis PPBM diugut akan dirobohkan rumah Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) mereka atau permohonan untuk memiliki skim bantuan rumah mereka tidak diluluskan.
"Mereka ini diugut oleh JKKK.. sesiapa saja yang depa nampak bersama, dok minum dengan Ketua Bahagian (PPBM) atau hadir di majlis-majlis anjuran PPBM, maka mereka akan diugut.
"Yang mohon rumah PPRT tu mereka kata rumah hang tak boleh, tak lulus. Kalau yang dah buat (rumah PPRT) depa kata 'rumah hang, aku nak roboh'. Kalau yang nak minta bantuan apa-apa, depa kata yang ini tak boleh..tak boleh," katanya ketika berucap di majlis perasmian Pejabat PPBM dan PDM cawangan Kampung Baru, kelmarin.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, yang sebelum ini dilihat cenderung menyebelahi Pakatan Harapan dan lantang mengkritik partinya sendiri, PAS, kerana enggan bersekongkol dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).
Abdul Razak berkata, JKKK sepatutnya membantu setiap penduduk kampung tanpa mengira fahaman parti politik dan dia berikrar akan menghancurkan JKKK yang dikatakan bersikap zalim itu.
"Kita akan hancurkan JKKK ini," katanya membakar emosi kira-kira 50 penyokong PPBM dan PAN yang hadir di majlis berkenaan.
Selain itu, Abdul Razak yang juga difahamkan adalah bekas AJK Bahagian UMNO Pendang yang berpaling tadah itu turut mendakwa kerajaan di negara ini sebagai zalim kerana mengenakan cukai GST terhadap rakyat.
Justeru itu, Ketua Penaja PPBM Pendang itu mahu semua rakyat menyokong Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.
Pakatan Harapan terdiri dari parti gabungan pembangkang iaitu Parti Amanah Negara (PAN), PKR, PPBM dan kuat dikuasai pengaruhnya oleh DAP.
"Hat satu lagi (PAS) saya tak mahu sebut kerana dia (PAS) masih lagi terawang-awang", katanya menyindir, sambil diikuti dengan jeritan "PAS takut!" oleh salah seorang yang hadir di majlis berkenaan.
Khabar angin sebelum ini mendakwa PPBM Bahagian Pendang bergolak teruk dan menghadapi krisis kepimpinan dalaman yang mengaitkan isu perebutan menjadi calon PRU ke-14.
Barisan Nasional (BN) dan PAS masing-masing sebelum ini menang bergaya dengan majoriti yang tinggi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Tiang dan Tokai, manakala kerusi Parlimen pula dimenangi oleh Datuk Othman Abdul (BN) yang menewaskan Presiden PAN, Mat Sabu, pada PRU ke-13 yang lalu. -Kedahnews.com