PPBM Tidak Akan Menang PRU14 - GKCM


KUALA LUMPUR – Sejumlah 821 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di seluruh negara mengumumkan keluar parti kerana PPBM dilihat tiada hala tuju yang jelas dalam membela rakyat, semalam.

Perkara itu dinyatakan oleh Kamarul Azman Habibur Rahman semasa mengumumkan keluar PPBM dan melepaskan semua jawatannya dalam parti iaitu sebagai Setiausaha Kerja, Setiausaha Penaja, Pengerusi Perhubungan Negeri Sembilan dan anggota Majlis Kerja Tertinggi.

“PPBM di bawah kepimpinan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, hanya berminat untuk menyerang dan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiada agenda yang lebih bermanfaat kepada negara.

“Saya mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan yang dipegang dalam PPBM,” katanya pada sidang media di sini.

Kamarul berkata PPBM menghadapi masalah dalaman dan tidak ditangani dengan berkesan malah kepimpinan tertinggi parti itu tidak mahu mendengar dan menerima pendapat dan cadangan daripada anggota PPBM.

“PPBM tidak akan menang dalam pilihan raya umum akan datang kerana tiada kekuatan berbanding Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang yang lain.

“Saya keluar parti kerana kecewa dengan sikap beberapa individu dalam PPBM yang hanya mementingkan diri sendiri dan mempunyai agenda tertentu sahaja dan bukannya membela rakyat dan menyumbang kepada negara,” katanya.

Kamarul berkata beliau akan mengaktifkan semula Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) dan menjadikannya sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan untuk memberi kritikan dan memberi teguran kepada UMNO dan PPBM. GKCM telah diwujudkan pada 2015. – BERNAMA