Program SKSJ Setanding Institut Memandu Lain - JPJ

Yusoff (tengah) bergambar bersama sebahagian warga emas yang berjaya mendapat lesen B2 melalui program SKSJ peringkat Parlimen Jerai
YAN - Lesen yang disediakan melalui program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) adalah setanding dan lebih hebat daripada lesen yang dikeluarkan oleh institut memandu yang lain.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Yusoff Ayob berkata, ia kerana peserta yang mengikuti program itu akan diajar dan diberi penerangan secara terus oleh pegawai JPJ sendiri daripada awal hingga akhir.

“Walaupun kita ada program khas, bukan bermakna lesen yang kita keluarkan ini tidak ada kelas dan setanding dengan mereka yang belajar di institut menandu, malah ia setanding dan lebih tinggi daripada apa yang mereka belajar di sana.

“Kemudian dari segi kos, mungkin kalau di institut memandu menjangkau RM350 hingga RM500 seorang, itu pun mereka terpaksa ulang alik daripada rumah ke tempat belajar dan mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) peringkat Parlimen Jerai di Sekolah Menengah Agama Yan, di sini, semalam.

Menurutnya, pendekatan yang dilaksanakan JPJ itu sekurangnya membantu menjimatkan kos dan masa mereka yang ingin mendapatkan lesen memandu khusus motosikal kelas B2.

“Ini merupakan satu bentuk ataupun subsidi yang kerajaan berikan kepada masyarakat di kawasan luar bandar kerana mereka sukar untuk mendapatkan lesen B2 melalui institut memandu.

“Maka kita buat program turun padang, selari dengan hasrat kerajaan supaya JPJ ini memberi perkhidmatan di peringkat bawahan. Kita datang kepada masyarakat, buat program kepada mereka supaya lebih mudah untuk dapatkan lesen,” katanya.

Ujarnya, melalui program itu ramai masyarakat khusus yang berumur 45 tahun dan ke atas berpeluang untuk mendapatkan lesen masing-masing kerana ramai tidak mempunyai lesen walaupun sudah lebih 20 tahun menunggang motosikal akibat pelbagai kekangan.

“Sehingga kini JPJ telah melesenkan B2 kepada 118,540 peserta di seluruh negara sejak ia mula diperkenalkan pada 2009 melibatkan 269 program.

“Manakala di Kedah pula, seramai 7,850 peserta telah berjaya mendapat lesen B2 sejak ia diperkenalkan, termasuk 500 peserta yang menerima lesen melalui program SKSJ peringkat Parlimen Jerai pada hari ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian