Ahli jawatankuasa pembinaan madrasah dan pondok moden menunjukkan tapak yang telah ada untuk pembinaan. |
PENDANG - Pembinaan Madrasah Raudhatul Al Falah, jalan Surau Haji Sulaiman, Kampung Bukit Jambul Pendang kini tergendala kerana dana belum mencukupi.
Imam, Sulaiman Ibrahim, 80, berkata madrasah sedia ada ini telah dibina sejak tahun 1973 dan sudah pun usang untuk digunakan.
"Saya telah mewakafkan tanah seluas 0.25 hektar bagi tujuan pembinaan semula madrasah dan pondok moden," katanya ketika ditemui di madrasah Raudhatul Al Falah, jalan Surau Haji Sulaiman, Kampung Bukit Jambul Pendang, semalam.
Katanya, madrasah baru harus dibina bagi menghidupkan semula madrasah lama yang telah usang.
"Di samping membina semula madrasah, tanah yang diwakafkan juga akan dibina pondok moden.
"Pihak kami masih memerlukan dana sebanyak RM700,000 bagi menyiapkan sepenuhnya madrasah berserta pondok moden berkenaan," katanya.
Katanya, mereka bercadang untuk membina pondok moden dua tingkat yang mampu memuatkan jumlah pelajar seramai 300 orang.
"Pondok moden yang akan dibina ini adalah bertujuan menjadi pusat sebaran ilmu agama," katanya.
Menurut Sulaiman, semua ahli jawatankuasa yang terlibat dalam pengurusan kutipan dana adalah dalam kalangan bekas pelajar pondok.
Sementara itu, imam kedua, Mohd Ali Abdul Aziz berkata, di kariah Bukit Jambul sudah terdapat masjid sejauh satu kilometer, namun kewujudan madrasah ini masih diperlukan atas tujuan untuk menjadi pusat sebaran ilmu.
"Setakat ini, kami sudah menghabiskan sebanyak RM70,000 hasil sedekah orang ramai namun sehingga kini kerja pembinaan terpaksa dihentikan kerana dana sedia ada sudah pun habis digunakan," jelasnya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Sulaiman Ibrahim di talian 019-4665764 atau Imam kedua Mohd Ali Abdul Aziz di talian 017-4413623.
Sumber: Sinar Harian