ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah akan memberikan fokus yang lebih kepada pengundi muda dan memastikan mereka tidak lagi melakukan kesilapan memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Pengerusi Perhubungan BN Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kebanyakan saluran 3, 4 dan 5 pada PRU yang lalu menyaksikan BN tewas bagi saluran itu dan beliau menggesa agar tumpuan yang lebih diberikan kepada golongan berkenaan bagi memastikan mereka kembali menyokong BN.
"Itu memang kita tekankan. Jumlah pengundi muda memang ramai. Kita ada data berapa jumlah pengundi Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dari umur 21 hingga 40, dan sebagainya.
"Kita tahu pada pilihan raya dulu, saluran 3, 4 dan 5 ini kebanyakkannya kita kalah, tidak memberikan undi kepada BN. Kita perlu beri perhatian lebih terhadap golongan ini yang mungkin terpengaruh dengan dakyah tidak tepat," katanya ketika ditemui Kedahnews.com, di sini, lewat petang semalam.
Namun begitu katanya, perkembangan terkini berhubung kecenderungan pengundi saluran 3, 4 dan 5 di negeri Kedah semakin positif kembali menyokong BN dan semakin "celik" untuk menilai tentang kebenaran di sebalik maklumat tidak benar yang tersebar, khususnya di media sosial.
"Mereka sudah makin 'celik' sekarang. Sudah makin bijak menilai dan tidak lagi tertipu dengan kata-kata politik pembangkang. Melalui program-program dan pendekatan yang kita gunakan, alhamdulillah mereka positif untuk menyokong BN kali ini, insyaAllah," ujar beliau.
Meskipun begitu, beliau meminta supaya seluruh jentera BN tidak memandang remeh tentang kepentingan generasi muda di negeri ini dan memberikan mereka peluang untuk terus menyalurkan pandangan membina demi kemajuan negeri.
Ahmad Bashah semalam mempengerusikan Mesyuarat BN Kedah yang diadakan di pejabat UMNO Negeri di Bangunan Tunku, di sini.
Selain itu, Ahmad Bashah berkata, beliau mahu setiap ahli parti di dalam BN memastikan ahli masing-masing supaya keluar mengundi dan memberi undi kepada BN pada PRU ke-14 nanti bagi memastikan kemenangan kepada calon parti.
Oleh kerana itu jelas beliau, setiap parti yang mengganggotai BN di Kedah perlu mengemaskini data keahlian masing-masing dan menyatukan semua mereka untuk terus memberi sokongan kepada BN pada hari mengundi kelak.
Beliau juga mahu setiap parti komponen supaya lebih aktif menganjurkan pelbagai program di seluruh negeri ini bagi mendekatkan lagi BN di hati rakyat Kedah.
Pengerusi BN Kedah itu semalam menerima laporan terkini mengenai persiapan keseluruhan parti-parti komponen BN termasuk UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Ahmad Bashah menjelaskan bahawa beliau amat berpuas hati dengan laporan-laporan dari parti-parti komponen BN dan menegaskan bahawa BN Kedah sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi PRU ke-14 pada bila-bila masa dari sekarang.
"Kita sudah pun bersedia," tegas beliau, yakin dengan kemampuan BN untuk mencapai kemenangan 2/3 pada PRU ke-14 nanti.
BN Kedah mensasarkan kemenangan 2/3 pada PRU ke-14 nanti dengan mengekalkan kemenangan di setiap DUN dan Parlimen yang dimenangi pada PRU yang lalu, dan yakin mampu menambah kemenangan di beberapa Dun dan Parlimen yang tewas khususnya dengan jumlah majoriti yang kecil sebelum ini.
Ahmad Bashah merupakan pemimpin yang mengepalai jentera BN Kedah pada PRU ke-13 yang lalu dan berjaya merampas kembali kerajaan negeri dari Pakatan Rakyat yang ketika itu bergolak gara-gara kemelut masalah dalaman. - Kedahnews.com