Putera Mahkota Jepun Berangkat Pulang


SEPANG – Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito selamat berangkat pulang hari ini dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) selepas mengadakan lawatan rasmi lima hari ke negara ini.

Keberangkatan pulang baginda diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim yang juga Menteri Pengiring.

Turut berada di Kompleks Bunga Raya, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Semasa kunjungan rasmi baginda di negara ini, Putera Mahkota telah menghadap dan menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Semasa di sini, Putera Naruhito melawat Pusat PERMATA pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muzium Negara, Terowong Smart dan Sekolah Jepun Kuala Lumpur. – BERNAMA