Rafizi Ramli Kena Bertaubat – Presiden PAS


ALOR SETAR - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli agar segera bertaubat ekoran tuduhan yang dilemparkan terhadap PAS kononnya telah menerima dana daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Abdul Hadi  walau bagaimanapun memaafkan segala pembohongan dan tuduhan tidak berasas tersebut selain menganggap bahawa Rafizi seorang yang jahil serta tidak tahu membezakan antara dosa mahupun pahala.

"Apa yang didakwa Rafizi itu (PAS terima dana daripada 1MDB) merupakan satu tuduhan bohong 300 peratus.

"Bagi saya.. saya telah maafkan kesalahan dia kepada saya. Kita anggap dia jahil, tidak tahu dosa pahala.

"Tapi dosa dia dengan Tuhan (sebab fitnah) dia kena bertaubat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di Kuala Nerus, malam semalam.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan  itu mengeluarkan kenyataan menuduh PAS telah menerima sejumlah dana dari 1MDB dan beliau dikatakan mempunyai bukti yang kukuh dan maklumat yang sahih berhubung perkara tersebut.

Rafizi hari ini memberitahu bahawa beliau akan mendedahkan individu berkaitan PAS yang dimaksudkan itu, esok. – Kedahnews.com