ALOR SETAR - Skim Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) bukan 'gula-gula' kepada rakyat sebaliknya usaha menyeluruh pelbagai agensi kerajaan untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan, kata Pemuda Umno Kedah.
Ketua pergerakannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, skim itu adalah sistem bantuan kepada rakyat Kedah yang dilaksana secara konsisten tanpa perlu menunggu musim pilihan raya umum (PRU) atau dilakukan selepas pemimpin pembangkang melawat sesuatu kawasan.
"Biarlah Tun Dr Mahathir menuduh kononnya Barakah ini adalah gula-gula kerajaan sama seperti dia berpolemik dengan menyatakan Bantuan Rakyat 1Malaysia itu rasuah.
Bagi Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), ia mungkin gula-gula kerana dia sendiri dan kaum keluarganya sudah kaya raya hasil apa yang dikatakan 'kecekapan berniaga'," katanya mengulas catatan terbaru Dr Mahathir di laman blognya yang menyifatkan skim Barakah merupakan gula-gula kerajaan.
Barakah, yang diperkenalkan pada April 2016 menyelaraskan sumbangan dan bantuan rakyat Kedah menerusi lima komponennya - Barakah Insan, Barakah Kemasyarakatan, Barakah Usahaniaga, Barakah Anak Muda serta Barakah Pendidikan dan Modal Insan.
Menurut beliau, Skim ini juga merupakan antara kegagalan anaknya, Datuk Seri Mukhriz semasa menjadi Menteri Besar Kedah untuk melaksanakannya, walaupun telah terkandung dalam akujanji PRU ke-13 khusus untuk Kedah.
"Menjadi Menteri Besar bukan sekadar menuding jari ataupun mencari alasan kononnya tiada kerjasama kerajaan persekutuan, tetapi ia memerlukan dedikasi dan sentiasa mengambil risiko demi rakyat.
Justeru, Pemuda Umno negeri menyanjung tinggi usaha dan komitmen kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bagi membela nasib rakyat, katanya. - Bernama