Rasuah: Abd. Latif Lepas Jawatan Exco Kerajaan Johor


JOHOR BAHRU – Datuk Abd. Latif Bandi secara rasmi mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkuat kuasa hari ini.

Perlepasan jawatan exco berkenaan dinyatakan beliau sendiri menerusi satu kenyataan rasmi kepada pihak media tempatan di sini pada Khamis, menurut laporan oleh beberapa portal berita.

ADUN Endau tersebut sebelum itu bercuti daripada memegang jawatan berkenaan sejak 1 Mac lalu bagi membantu siasatan berhubung skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di sekitar Johor.

Semalam Abd. Latif, 51; bersama-sama dengan seorang perunding hartanah dihadapkan ke sebuah Mahkamah Sesyen di sini atas 33 pertuduhan membabitkan rasuah bernilai lebih RM30.3 juta.

Terdahulu pada 24 Februari, anak lelaki dan pembantu khas beliau ditahan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Bagaimanapun, mereka semua dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas didapati memberikan kerjasama sebelum Abdul Latif pula yang kemudian ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pihak SPRM turut merampas sejumlah 150 beg tangan pelbagai jenama, wang tunai sebanyak RM41,000 dan sebuah Toyota Vellfire hasil serbuan di salah sebuah rumahnya di bandar raya ini.

Mengikut kertas pertuduhan di mahkamah, Abd. Latif didakwa bersubahat dengan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub untuk menerima rasuah daripada beberapa individu.

Ia bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam dan pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic, Pulai.

Amir Sharidduddin, 44, pula dituduh menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd. Latif untuk melakukan apa-apa transaksi. – Agensi