Ratusan Penyokong PAS "Gegar" Nanyang Siang Pau


PETALING JAYA – “Hancur Nanyang!”… demikianlah gema ratusan peserta perhimpunan protes karikatur disiarkan Nanyang Siang Pau di luar ibu pejabat syarikat akhbar itu di sini hari ini.

Meskipun pihak akhbar berbahasa Cina itu dilaporkan sudah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan menarik balik daripada portalnya semalam, mereka tetap berkumpul untuk menyuarakan bantahan secara aman.

Dianggarkan sekitar 300 anggota pemuda daripada PAS dan pelbagai badan Islam tempatan mengadakan aksi demonstrasi  berhubung penyiaran kartun ‘Akta Kera’ yang diterbitkan Nanyang Siang Pau pada Sabtu lalu.

Ia menggambarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet ceria di dahan pokok ‘Akta 533, ketika beberapa kera lain berkelahi di bawah pohon itu.


Ia susulan dua hari selepas Ahli Parlimen Marang itu membentangkan rang undang-undang persendirian yang dirujuk sebagai RUU 355 bagi memperkasakan hukuman dan bidang kuasa mahkamah syariah di Malaysia.

Karikatur menggambarkan monyet memakai serban yang dirujuk sebagai Abdul Hadi ada di atas pokok, manakala Pandikar sebagai monyet bersongkok pula lari meninggalkan pokok itu untuk merujuk penangguhan perbahasan.

Sekumpulan monyet yang ‘bertekak’ di bawah pokok berkenaan pula menunjukkan ahli-ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan mempertikaikan langkah membawa usul RUU 355 itu untuk dibahaskan pada sesi akan datang.

Semalam, Nanyang Siang Pau memohon maaf berhubung karikatur yang didakwa mempersendakan Abdul Hadi dan Pandikar sebagai monyet itu selain memadam kartun tersebut yang disiarkan menerusi laman eNanyang.my.


Bagaimanapun, para penyokong PAS tetap menyerahkan surat bantahan kepada pengurusan Nanyang Siang Pau pada Selasa dan mahu pihak Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan tegas terhadap akhbar tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada petang Selasa, seorang aktivis PAS, Khairil Nizam Khirudin menegaskan bahawa Nanyang Siang Pau itu sekali gus telah menonjolkan sikap “biadap, tidak bermoral dan tidak beretika”.

Beliau turut berkata bahawa akhbar tersebut sebagai “tidak sensitif terhadap orang Islam di Malaysia”. Pindaan bertujuan untuk meningkatkan hukuman yang boleh dijatuhkan terhadap orang Islam bagi jenayah tertentu.

RUU yang diusulkan PAS bagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 itu termasuk kesalahan berzina, minum arak dan murtad yang kini hukumannya dikatakan agak ringan. – Agensi