Realisasi Jadikan Kedah Zero Waste, Negeriku Bersih Serata-Rata

Norizan (tiga, kanan) bergambar bersama wakil agensi lain ketika demostrasi jentera E-Idaman pada program walkabout, dekat Medan Padang
SUNGAI PETANI - Dalam usaha menjadikan Kedah Zero Waste dan Kedah Negeriku Bersih Serata-rata, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) serta Enviroment Idaman Sdn Bdn (E-Idaman) bergabung tenaga merealisasikan usaha murni itu seperti diamanatkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 16 Mac lalu.

Yang Dipertua MPSPK, Norizan Khazali berkata, tiga agensi itu akan turun padang untuk melihat sendiri persekitaran dan kebersihan sesuatu tempat dengan lebih dekat lagi dalam usaha pemantapan pembudayaan kitar semula dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Dalam menjayakan usaha berkenaan, pihak MPSPK akan bersama dengan SWCorp dan E-Idaman melakukan program walkabout ke beberapa kawasan seperti medan selera dan juga kawasan perumahan.

“Walkabout berkenaan bertujuan memupuk amalan nilai kebersihan dan kesedaran alam sekitar serta menerapkan budaya kitar semula dalam kalangan setiap lapisan masyarakat, di daerah ini," katanya selepas Program Walkabout dan Majlis Penyerahan Sangkar Kitar Semula di Pekarangan MPSPK, di sini, kelmarin.

Selain turun padang, beliau berkata, sebanyak 400 sangkar kitar semula yang diterima pihaknya daripada SWCorp, semalam akan mula diletakkan di beberapa lokasi bersesuaian di daerah ini.

Katanya, lokasi tumpuan orang ramai seperti taman perumahan, kawasan perniagaan, medan selera, rumah ibadat, sekolah dan tempat riadah akan dipilih untuk menempatkan sangkar berkenaan.

“Tujuan meletakkan sangkar kitar semula 3R bagi meningkatkan tahap kesedaran tentang amalan kitar semula di kawasan mereka.

“Pendekatan ini dapat melahirkan masyarakat minda kelas pertama selaras dengan transformasi Kedah Baharu ke arah Zero Waste,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Kedah, Hazahar Hashim berkata, sangkar dibekalkan boleh pihaknya setiap satunya bernilai RM2,000 akan dipasang secara berperingkat di daerah ini.

“Sangkar khas ini mempunyai tiga bahagian bagi memudahkan penduduk melupuskan sisa kitar semula mengikut jenis yang ditetapkan membolehkan lebih ramai rakyat terlibat dalam aktiviti kitar semula barangan buangan mereka terutama di tempat awam.

“Dengan inisiatif ini, kita sasarkan pengurangan 60 peratus sampah domestik ke tapak pelupusan sampah di negeri ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian.