Restoran Di Guar Chempedak Rugi RM1,600 Ditipu "Penyelenggara Aircond"


GUAR CHEMPEDAK - Sebuah restoran yang terletak di pekan Guar Chempedak kerugian RM1,600 apabila salah seorang pekerjanya ditipu oleh seorang lelaki yang datang menyamar untuk menyelenggara penghawa dingin kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, ketika kejadian seorang pekerja perempuan bersama seorang rakannya didatangi seorang lelaki lingkungan umur 30an.

"Lelaki berkenaan telah memperkenalkan diri dari syarikat perkhidmatan penghawa dingin dan meminta nombor telefon pengurus restoran.

"Sejurus memberikan nombor telefon pengurus, lelaki berkenaan berpura-pura menghubungi pengurus dan menyerahkan sekeping resit serta meminta bayaran sebanyak RM1,600 kepada pekerja perempuan tersebut," katanya.

Menurut Md Zukir, setelah pekerja perempuan berkenaan menyerahkan wang yang diminta, lelaki tersebut telah menghilangkan diri.

"Pekerja berkenaan telah membuat pengesahan dengan pengurus dan mendapati pengurusnya tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek," jelasnya.

Orang ramai serta pengusaha restoran sekitar daerah ini diminta berhati-hati dan tidak mudah menyerahkan wang kepada orang yang tidak dikenali.

Sumber: Sinar Harian