ALOR SETAR – Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin bertindak mendedahkan beberapa punca yang menyebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini sedang mengalami keretakan dan retak menanti belah.
Antara faktor disebut Shaiful yang menjadi punca utama pergolakan parti serpihan UMNO tersebut adalah masalah “kepimpinan” teratas parti tersebut yang dipercayai tidak dapat diterima serta diguna pakai oleh ahli akar umbi parti.
“Pertamanya adalah faktor "Kepimpinan", Presidennya iaitu Tan Sri Muhyiddin tidak berapa diterima dan diyakini oleh akar umbi parti.
“Ahli PPBM lebih melihat aura dan legasi Tun Mahathir beserta keturunannya sebagai kayu ukur utama. Fantasi pengikut-pengikut PPBM ini dilihat melemahkan parti dimana Tun Mahathir hakikatnya adalah pemimpin De Facto PPBM” ujarnya.
Menurut Shaiful lagi, faktor kedua permasalahan dalam PPBM berpunca daripada kegagalan Presiden dan Timbalan Presidennya, jika dibandingkan dahulu Muhyiddin dan Datuk Seri Mukriz Mahathir diangkat menjadi pemimpin atas bantuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukan atas kecekapan mereka sendiri.
Justeru itu, apabila kedua pemimpin tersebut keluar dari UMNO dan menubuhkan parti sendiri diatas kaki mereka sendiri, maka dari situ terserlah kelemahan dan kegagalan mereka dalam mengemudikan parti baharu.
“Keduanya faktor kemahiran berpolitik pimpinan PPBM. Sebagai contohnya dahulu didalam UMNO kedua-dua pemimpin utama PPBM iaitu Presiden dan Timbalan Presidennya diangkat menjadi pemimpin atas dasar "gelombang" dan bukan kemahiran mereka mengemudi parti dan berpolitik,
“Dan jesteru itu apabila mereka memimpin sebuah parti baru nyata mereka gagal menyakinkan ahli parti atas prinsip-prinsip tertentu,” katanya lagi.
Shaiful mendedahkan faktor ketiga keruntuhan PPBM akibat daripada parti tersebut yang kurang mendapat sambutan dan hanya anggota-anggota UMNO yang kecewa sahaja memilih untuk keluar parti dan sertai parti serpihan tersebut.
“Ketiganya adalah struktur ahli PPBM yang lemah dan kurang sambutan, keengganan PPBM mengisytiharkan jumlah sebenar ahli mereka khasnya di Kedah adalah jumlah yang menyertai parti tersebut tidaklah sebanyak yg di war-warkan.
“Ahli PPBM sebenarnya banyak dikalangan kumpulan UMNO yang kecewa dan serpihan individu yang kalah didalam pertandingan diperingkat parti UMNO. Ianya adalah soal jati diri yg lemah dan prinsip yang goyah akan membawa kepada penghijrahan beramai-ramai pada masa akan datang.” tegas Shaiful.
Sebagai kesimpulannya, Shaiful mensarankan supaya bekas ahli UMNO yang menyertai PPBM kini segera kembali ke pangkal jalan dan sertai parti Melayu kembali sebelum bahtera PPBM yang kini sedang bocor itu mula karam akibat pertelagahan nakhoda.
UMNO merupakan sebuah parti yang pemaaf dan bersedia menerima bekas-bekas ahli UMNO yang tersilap langkah, begitu juga dengan beberapa pimpinan PPBM di beberapa kawasan di Kedah yang kini dipercayai sedang berantakan. – Kedahnews.com