Ribut Landa Muktamar PAS: Mat Sabu, Ismail, Mahfuz Doa Agar Semuanya Selamat


ALOR SETAR - Presiden Parti Amanah Negara (PAN) mengucapkan takziah kepada PAS atas insiden khemah runtuh ekoran dilanda ribut kencang di Muktamar PAS kali ke-63 yang sedang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

Mohamad Sabu berkata, pihaknya mengharapkan ahli-ahli parti lamanya itu supaya bertenang dan redha atas musibah yang mengakibatkan 19 orang cedera tersebut.

"Saya berharap semoga semua rakyat negeri Kedah, khususnya ahli-ahli Pas yang berkampung sempena muktamar agar bertenang dan saya berdoa semoga mereka semua berada dalam keadaan selamat.

"Kepada mereka yang mengalami kecederaan, semoga mereka akan pulih dan kembali sihat seperti sedia kala.

"Ujian daripada Allah berlaku kepada sesiapa jua mengikut takdir dan kehendakNya. Sebagai orang Islam, kita perlu redha dengan ketentuan dan sedikit ujian ini," katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu, Pengerusi PAN Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dalam kenyataannya turut mendoakan keselamatan mangsa.

"Diharap semua yang cedera dirawat dan segera sembuh, khemah-khemah yang roboh menyembah bumi akan dapat segera dibaiki. Didoakan agar muktamar dapat diteruskan seperti dijadualkan oleh panitia muktamar," katanya.


Selain itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, turut menyuarakan rasa simpati beliau dan mendoakan agar semua yang hadir selamat.

"Katanya ribut melanda muktamar. Ada yang cedera. Ya Allah kau lindungilah mereka, selamatkan mereka di muktamar, sembuhkan yang tercedera dan Kau hentikan ribut yang melanda," ujar beliau dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian ribut kencang lewat petang semalam, dilaporkan seramai 19 pengunjung cedera apabila khemah gerai jualan runtuh perkarangan Kompleks PAS Kedah.

Daripada  jumlah itu, seorang mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan telah ditempatkan di zon merah, sembilan orang di zon kuning dan tiga di zon hijau.

Manakala baki enam mangsa dilaporkan cedera ringan dan dirawat di lokasi. - Kedahnews.com