SUNGAI TIANG - Sepasang suami isteri yang tidak mampu berjalan dengan baik sempat diselamatkan oleh anak sulung mereka dalam satu kejadian ribut petir di Kampung Bukit Morai, Pendang kelmarin.
Mangsa, Ramlah Awang Kechik, 72, berkata dia dan suami, Mat Hussain Jusoh, 77 berada di dalam rumah ketika kejadian.
"Saya berasa sangat takut kerana angin terlalu kuat dan hanya mampu menutup muka sambil berdoa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Morai semalam.
Anak sulung pasangan ini, Mansor Mat Hussain, 50, berkata ketika kejadian dia bersama seorang anaknya berada di dalam rumah.
"Mendengar tiupan angin yang sangat kuat, saya melaungkan azan sambil berlari keluar ke depan rumah bersama anak.
"Ketika melaungkan azan saya nampak pokok di hadapan rumah tumbang. Perasaan saya pada ketika itu hanya ALLAH sahaja yang tahu," katanya.
Menurut Mansor, selesai melaungkan azan kali ke-3, dia ternampak bumbung rumah emaknya pula diterbangkan angin.
"Tanpa berfikir, saya terus meluru ke rumah emak dan ayah untuk selamatkan mereka berdua.
"Saya membawa emak dan ayah ke rumah saya dan ketika itu hujan dan ribut masih lagi kuat dan kami hanya mampu melihat sahaja," katanya.
Katanya, dia bersyukur kerana emak dan ayahnya tidak tercedera.
Menurut Ramlah, dia langsung tidak menyedari bumbung rumahnya diterbangkan angin sehingga anaknya datang menyelamatkannya.
"Saya sudah tidak boleh berjalan dan hanya mampu mengesot sahaja, jadi ketika ribut saya hanya duduk di dalam bilik," katanya.
Melihat keadaan rumahnya ketika ini, Ramlah berkata dia berasa sangat sedih kerana rumah yang dia duduki sejak 70 tahun lalu musnah sekelip mata.
"Kos untuk memperbaiki semula rumah ini dianggarkan sebanyak RM10,000 kerana melibatkan ruang yang luas," katanya.
Tambah Ramlah, dia bersyukur ada anak-anak yang tinggal berhampiran untuk dia menumpang teduh buat sementara waktu.
Mangsa kedua, seorang ibu tunggal Rokiah Abdul Rahman, 65, berkata ketika kejadian sekitar jam 3.45 petang dia sedang mengemas baju.
Anaknya, Nooroham Abdul Hamid 37, berkata sejak kematian suami dia pulang ke kampung untuk tinggal bersama ibunya sejak dua minggu lalu.
"Saya baru sahaja tukar bumbung rumah emak dan memang bercadang untuk tinggal bersama emak.
"Kerja pemasangan bumbung selesai beberapa hari lalu dan kini ribut pula menerbangkan kesemua bumbung itu sejauh 50 meter," katanya.
Menurut Nooroham, buat sementara waktu ini, dia dan emaknya menunoang teduh di rumah kakaknya yang terletak bersebelahan rumah emaknya.
"Saya dan emak hanya menunggu bantuan dari pihak tertentu. Nak harap saya dan emak perbaiki bumbung ini memang kami tidak mampu," katanya.
Mangsa ketiga, Samsiah Wahab, 63, berkata ketika kejadian dia dan suami beserta seorang cucu duduk di ruang tamu dan terkejut dengan bunyi angin yang menerbangkan bumbung dibahagian dapur.
"Sejurus angin ribut menerbangkan bumbung dapur, pokok macang pula telah menimpa bumbung bilik utama rumah saya.
"Ini adalah kali pertama ribut petir sangat kuat dan saya terlalu takut sehingga hanya mampu berdoa tanpa boleh berbuat apa-apa," katanya.
Wakil Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Morai, Ishak Ahmad, 63, berkata sebanyak tujuh buah rumah yang terlibat dengan kejadian ribut berkenaan dengan melibatkan hampir 30 mangsa.
"JKKK telah membuat pemantauan ke seluruh kampung melibatkan 165 buah rumah dan telah mengenalpasti rumah yang perlu menerima bantuan.
"Setakat ini, penduduk telah menerima bantuan dari Pejabat Dun Sungai Tiang dan Ketua Pemuda Pas kawasan pendang," katanya.
Sumber: Sinar Harian