Rita Bukan Anti-Poligami, Cuma Tak Suka Rampas Suami Orang


Mungkin tidak keterlaluan jika Rita Rudaini diberikan jolokan sebagai antara selebriti berstatus ibu tunggal paling hot oleh para peminatnya.

Melihat pada kejelitaan dan kelangsingan tubuh badannya yang sering menjadi dambaan para wanita di luar sana.

Baru-baru ini, nama pengusaha Rumah Kueh ini terpalit dengan kontroversi apabila Rita didakwa mempunyai hubungan dengan pelakon dan penyanyi Aqasha, sehinggakan keluar gosip mengatakan mereka sudah bernikah di negara jiran.

Menjawab mengenai dakwaan itu, Rita menafikan dirinya seorang anti-poligami sebaliknya menyifatkan kehidupan bermadu dan merampas suami orang lain adalah dua perkara berbeza yang perlu difahami masyarakat umum.

Rita menjelaskan, “Saya tidak pernah cakap anti-poligami, tidak pernah. Cuma saya tidak suka kepada perampas rumah tangga orang.”

“Sesiapa pun tidak suka, kalau ada perempuan datang dan ambil suami kita, disuruhnya ceraikan isteri pertama, itu sudah salah.


“Sedangkan dalam agama sendiri dibolehkan berpoligami dengan syarat-syarat dan kepatuhan-kepatuhan tertentu, kenapa pandang keji?

“Saya sendiri tidak pernah pun mengeji wanita yang berstatus isteri kedua atau ketiga. Tidak pernah,” katanya memetik laporan sebuah akhbar mingguan, semalam.

Rita dikaitkan dengan Aqasha selepas mereka dipertemukan dalam drama Misi Laksa dan Laksam baru-baru ini.

Nama Rita menjadi perhatian selepas isteri Aqasha, Baizura Sabri memuat naik satu posting di laman Instagram mendakwa seorang pelakon popular cuba menggoda dan mendekati suaminya selepas kedua-duanya mula rapat dalam satu pembikinan drama.

Pernah dua kali melalui fasa keretakkan rumah tangga, Rita menerusi perkahwinannya dengan pemain JDT, Aidil Zafuan, dia dikurniakan dua cahaya mata lelaki Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Rafqa Arjuna, 6 tahun.  -Kedahnews.com