Roslan Shah Reputasi Tercalar Gara-Gara Vida Tidak Muncul


HOS terkenal Roslan Shah melahirkan perasaan kecewanya apabila pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman membatalkan kehadirannya di saat-saat akhir pada majlis yang bakal berlangsung di Singapura hujung bulan ini.

Menurut Roslan, 47, pembatalan tersebut telah menjejaskan reputasi dan nama baik beliau kepada pihak penganjur yang mahukan Vida pada majlis tersebut.

Memetik mStar, Roslan berkata, “Saya terkilan kerana iklan dan poster yang menguar-uarkan tentang kehadiran Datuk Vida pada majlis itu sudah pun dinaikkan.”

“Malah, saya sudah pun mengatur sesi promosi dan temuramah dengan sebuah radio di sana pada 29 April ini. Apa yang saya kecewa dia tidak menjawab mesej dan telefon saya untuk menjelaskan situasi berkenaan untuk saya terangkan kepada penganjur,” katanya.

Majlis yang sepatutnya dihadiri Vida, The Grand Wedding Expo di Singapura itu bakal berlangsung pada 28 April hingga 1 Mei ini.

“Pihak penganjur pastinya memberi tanggapan buruk kepada saya selepas ini,” luahnya lagi.

Sementara itu, Vida menyatakan dia mempunyai alasan tersendiri mengenai ketidakhadirannya dalam majlis yang sudah dijanjikan itu.

Malah pengusaha kecantikan itu juga sudah menghubungi pihak penganjur serta memohon maaf di atas kesulitan yang ditimbulkannya.

“Saya minta maaf dan mengakui saya sudah bersetuju pada awalnya kerana Roslan menghubungi saya sendiri dan sebagai kawan sudah tentu saya mahu datang.

“Tapi bila pengurus saya menyusul jadual, majlis itu bertindih dengan perkara yang lebih penting, yang tidak boleh saya beritahu. Namun, saya sudah berjanji kepada pihak penganjur untuk menyertai majlis itu pada masa akan datang,” katanya lagi.

Menurut Vida lagi, ketidakhadirannya pada majlis itu pastinya tidak akan mencacatkan perjalanan acara memandangkan ramai lagi selebriti popular yang turut serta dalam program tersebut. –Kedahnews.com