Rumah Usang Jadi Sarang Dadah Di Kepala Batas Diroboh


JITRA - Sebuah kediaman usang yang dijadikan sarang penagihan dadah di Kepala Batas, di sini, diroboh dan dibersihkan melalui program My Beautiful Malaysia.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu, Zulkifli Ahmad, port berkenaan merupakan lokasi diserbu penguatkuasa AADK khamis lalu.

"Dalam operasi itu, seramai 21 penagih dadah berusia antara 20 hingga 70 tahun ditahan kerana positif dadah jenis syabu dan heroin," katanya.

Sebelum ini, lokasi berkenaan sering dijadikan tempat sekumpulan penagih dadah melepaskan gian dan mendapatkan bekalan dadah sehingga membimbangkan penduduk.

Untuk itu, katanya, insiatif bergotong-royong membersihkan sarang penagihan dadah yang beroperasi sejak dua tahun lepas berkenaan diambil dalam usaha memerangi dadah habis-habisan.

Malah, kata beliau, pihak mereka berharap tindakan berkenaan dapat mengekang pengaruh dadah, sekaligus menghapuskan terus port yang aktif di daerah ini.

Terdahulu, seramai 70 peserta mengambil bahagian dalam program anjuran AADK Kubang Pasu dengan kerjasama Rela, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Enviroment Idaman (Envi), Biro Membasmi Dadah di daerah Kubang Pasu.

Malah, kata beliau, aktiviti membersihkan sarang penagihan dadah turut mendapat sokongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Hilir, Kepala Batas dan penduduk tempatan.

Katanya, untuk 2017, sebanyak empat port besar dadah telah dibersihkan AADK Kubang Pasu, malah usaha berkenaan akan dilakukan berterusan.

Sumber: Sinar Harian