Rupanya Lagu Srikandi Cintaku Usop Tulis Lepas Terserempak Komunis!


TIDAK lama dulu aku pernah lepak dengan salah seorang penyanyi kumpulan Kopratasa, Usop yang kini bertugas dengan stesen TV Al-Hijrah.

Lama jugaklah aku lepak dengan dia borak…pelbagai bendalah yang kami bualkan dan topik utama mestilah perkembangan industri hiburan tempatan.

Pada kesempatan itu juga aku bertanya pada Usop, siapakah penulis sebenar lirik lagi Srikandi Cintaku, lagu nyanyian kumpulan Bloodshed yang dianggap salah sebuah lagu rock era 80’an terbaik pernah dihasilkan.

Ini kerana aku pernah dengar lirik lagu ‘berhantu’ tersebut sebenarnya ditulis oleh dia sendiri, bukannya ‘orang lain’ seperti mana yang diwar-warkan

Ini jawapannya...

” Memang aku yang tulis lagu tu setelah M Nasir berikan iramanya. Kebetulan ada orang lain masa aku tulis lirik tu jadi dia adalah tambah sikit, sedangkan untuk pengetahuan kau, akulah yang menulis hampir keseluruhan senikatanya.

” Tapi aku takde nak kecoh-kecoh, biarlah. Sampai sekarang aku ingat lagi bagaimana M Nasir berikan lagu itu pada Ramli MS untuk diberi sentuhan orkestra, sesuatu yang tak pernah berlaku pada zaman itu.

“Dulu mana ada lagu rock bunyi orkestra.. hasilnya lagu tu ‘meletup’ hingga ke hari ini,” kata Usop yang terkenal dengan lagu Permata Untuk Isteriku itu.


Tapi part ni paling memeranjatkan.

Aku tanya Usop, bagaimana dia mendapat ilham untuk menulis lirik yang sepuitis itu.

Dia terdiam sejenak. Kemudian dia memberitahu aku yang segalanya bermula apabila dia terlibat dengan penggambaran drama untuk sebuah televisyen tempatan.

” Mungkin korang tak percaya kalau aku katakan yang aku terserempak dengan komunis masa shooting tu berlangsung. Bermula dengan peristiwa itulah akhirnya lirik Srikandi Cintaku terhasil,” katanya serius.

Dan di bawah ini pula petikan dari blog mohdshahibrahim.blogspot.com mengenai isu yang sama;

” Malam ini, entah bagaimana tiba-tiba Usop menyebut tentang isu panas yang sedang bergelora berhubung karyanya Srikandi Cintaku.

” Lirik lagu itu dihasilkannya pada tahun 1987 di set penggambaran drama TV3 Budi Semantan. Drama tersebut arahan sahabat kami Rohani Yousoff yang lebih mesra dipanggil Kak Ani yang kami kenali sejak bekerja di Teater Elit.

” Saya bukan mahu mencatat mengenai isu tersebut kerana bagi saya isu tersebut memang sensitif dan biarlah Usop mengambil apa juga tindakan yang difikirkan sesuai.

” Sebagai sahabat rapat yang amat mengenali jiwanya, saya akan menyokong apa saja tindakannya kerana saya memang percaya bahawa itu karya Usop. M. Nasir juga tahu dan tidak mustahil dia mungkin lebih tahu.

” Kalau orang bertanya mengapa saya percaya? Mudah saja. Setiap kali menyanyikan lagu ciptaan M. Nasir itu yang merupakan antara lagu yang amat saya minati, saya dapat merasakan berada dalam diri Usop.

” Selepas puas meluahkan rasa terkilannya, Usop bangun meninggalkan kami. Sani membangkitkan sesuatu yang menarik mengenai Srikandi Cintaku.


” Katanya, “Apa yang Usop tulis, Nasir dapat, Usop pun dapat.” Itulah bahasa Sani Sudin. Ringkas dan padat tetapi penuh makna.

” Maksud Sani, apa yang ditulis Usop dalam lirik lagu itu akhirnya benar-benar terjadi. Mula-mula M. Nasir kehilangan srikandi cintanya Junainah (Nana). Tidak lama kemudian Usop pula kehilangan srikandi cintanya Ummi. Cuma M. Nasir menduda tidak lama kerana kekosongan itu diisi oleh Marlia Musa tidak lama selepas itu. Kalau tidak silap saya Ummi meninggal pada awal tahun 2000 “

Lain macam! -syahrilkadir.com

Dingin malam tirai kenanganku
Menyerlahkan sekurun ingatan
Terciptalah rimba kehidupan
Percintaan dalam perjuangan

Kesetiaan sebagai bekalan
Bisikan penuh pengharapan
Tiada garis dapat memisahkan
Segalanya kudratMu Tuhan

Alam bagai mengerti
Segala yang terjadi
Embun menitis panas simpati
Pertemuan tiada awal akhir

Perutusan berdarah ku terima
Gugur kuntum di tengah halaman
Medan ini kurasakan sepi
Terpaku pilu

Ku semaikan pepohon kemboja
Yang bunganya adalah hati ku
Semadilah dalam kedamaian
Semangatku tetap bersamamu

Kan kuusung oh! jenazah cinta
Semadikan nisan kasih suci
Semangatmu tetap bersamaku
Selama pasti

Debu malam meragut kenangan
Menyedarkan dari lamunanku
Percintaan dalam perjuangan
Kau abadi Srikandi Cintaku