RUU 355: ASWAJA Seru Umat Islam Jangan Undi Pakatan Harapan


KUALA LUMPUR – Haram untuk umat Islam menyokong ahli politik bukan Islam yang menentang Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Parlimen kelmarin kerana mereka terbukti tergolong dalam kalangan kafir harbi.

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Ustaz Dr. Zamihan Mat Zin al-Ghari berkata, ahli politik beragama Islam yang turut membantah usaha memartabatkan undang-undang Islam itu kelmarin juga haram disokong oleh umat Islam.

“Pemimpin beragama Islam tetapi tidak menyokong agenda Islam dalam memartabatkan undang-undang Islam, malah menentang pelaksanaannya, maka haram bagi umat Islam menyokong, memberi undi dan berkompromi dengan pemimpin dan parti sebegini.

“Aswaja tidak mempunyai kepentingan politik mahupun peribadi, sebaliknya seruan ini ditegaskan demi menjaga dan mempertahankan kepentingan akidah dan syariat Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Presiden PAS kelmarin membentangkan RUU 355 di Parlimen yang bertujuan meminda akta bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah termasuk meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas umat Islam yang berzina dan minum arak.

Perbahasan RUU 355 yang sepatutnya diadakan selepas pembentangan itu terpaksa ditangguhkan pada sesi akan datang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ekoran provokasi melampau Ahli Parlimen Pakatan Harapan dalam membantah RUU 355.

Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular DAP bersama anggotanya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Amanah Negara (PAN) menentang hebat usaha tersebut sejak tahun lalu.

DAP pernah mendakwa RUU 355 merupakan strategi halus PAS untuk melaksanakan hukum Islam hudud yang zalim, kuno dan tidak bertamadun di negara ini.

PKR dan PAN pula mendakwa RUU 355 tidak boleh dibenarkan kerana ia mengelirukan dan menimbulkan keresahan umat bukan Islam.

Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut mengkritik RUU dengan berhujah Islam melarang menangkap dan menghukum umatnya yang berzina selagi zina itu dilakukan secara sembunyi-sembunyi seperti dalam bilik atau rumah yang berkunci.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan akan menyertai Pakatan Harapan.

“Aswaja seru umat Islam tidak menyokong dan mengundi parti serta pemimpin yang menolak RUU 355 pada Pilihan Raya Umum Ke-14. DAP adalah sebuah parti yang jelas menentang undang-undang Islam.

“Terdapat juga beberapa pemimpin bukan Islam dari PKR dan PAN yang bersekongkol dengan DAP dalam usaha menentang agenda Islam. Umat Islam perlu berwaspada dan tidak sesekali menyokong mereka yang jelas menentang Islam,” katanya. –Kedahnews.com