RUU 355: PAS Dedah Punca Pakatan Harapan Marah


KUALA LUMPUR – PAS mendedahkan punca sebenar Ahli Parlimen Pakatan Harapan marah apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menangguhkan perbahasan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Dewan Rakyat kelmarin.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan mendedahkan, Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang terdiri daripada wakil rakyat DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) marah kerana hasrat mereka menggagalkan RUU 355 dengan secepat mungkin melalui undi menolak dalam "belah bahagian" kelmarin tidak kesampaian.

“Kenapa mereka marah RUU 355 ini ditangguh sedangkan mereka bukan bersetuju pun dengan RUU 355 Jawapannya kerana mereka marah hasrat mereka untuk menggagalkan RUU 355 melalui undi menolak dalam belah bahagian sebagaimana yang dirancang oleh mereka tertangguh lagi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nasrudin seterusnya menerangkan, beliau tidak bangun membantah penangguhan perbahasan RUU 355 di Dewan Rakyat kerana bersetuju dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dianggapnya sebagai bijak dan berhikmah.

Menurut beliau, Yang Dipertua Dewan Rakyat membuat keputusan yang tepat selepas melihat gelagat dan aksi Ahli Parlimen Pakatan Harapan meremehkan Dewan Rakyat dan Yang Dipertuanya sejak sehari sebelum pembentangan RUU 355 dilakukan.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh Nasrudin berhubung perkara itu: - Kedahnews.com
355 : Mencari Hikmah Tertangguh

1. Logiknya, PAS adalah pihak yang paling terkesan apabila Pindaan Akta 355 ini senantiasa tertangguh. Dua kali ditangguh sendiri oleh YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi iaitu pada 26 Mei 2016 dan 24 Nov 2016. Kali ketiga, ianya ditangguhkan oleh Tan Sri Yang Di Pertua Dewan Rakyat sendiri.

2. Jika “tangguh” itu suatu yang sangat merugikan PAS, maka sudah tentu musuh PAS akan beraya sakan meraikan penangguhan ini. Kerana mereka tentu sahaja mahu supaya PAS rugi. Tapi ternyata mereka sangat marah apabila 355 ditangguh-tangguh. Mudahnya, tentu sahaja kerana penangguhan itu dilihat menguntungkan PAS.

3. Mereka marah 355 ditangguh. Kononnya kerana mereka mahu berbahas. Saya sendiri tidak tahu bahawa mereka mahu bahas Pindaan Akta 355. Saya jangka mereka tidak mahu berbahas mengenai isu 355 ini. Sebab semua orang saksikan bagaimana mereka berkali-kali bangun menghalang 355 dibentang oleh YB Tuan Guru.

4. Pada 26 Mei 2016 yang lalu, mereka juga bantah Yang Di Pertua Dewan Rakyat memberi peluang Akta 355 ini dipinda melalui Private Members Bill MP Marang. (Boleh rujuk handsard). Demikian juga pada 24 Nov 2016 dan 6 April 2017.

5. Jelas sikap mereka mahu melengahkan masa, mengganggu perjalanan mesyuarat dengan menggunakan pelbagai helah dan terang-terangan mempersoalkan kenapa 355 ini diberi laluan, pula kepada YB Tuan Guru selaku MP Marang.

6. Justeru saya jangka tentu sahaja mereka akan gembira, seronok dan setuju apabila usul Pindaan Akta 355 ini di tangguhkan, sebagaimana gembiranya PAS apabila Pindaan Akta 164 ditangguhkan ke persidangan akan datang.

7. Tiba-tiba mereka yang memekik dan berteriak terlolong apabila 355 sekali lagi ditangguhkan pada jam 4.++ petang, 6 April 2017. Sedangkan pada jam 12.00 pm pada hari yang sama, mereka berusaha gigih untuk menghalang 355 itu daripada dibentang oleh YB Tuan Guru.

8. Alasan mereka Akta 355 ini sangat penting, dan kenapa tangguh lagi perbahasannya ? Ermmm ! Ye ker penting ? Kalau Akta 355 itu penting bagi mereka, kenapa mereka bersungguh-sungguh menghalang Akta 355 ini dipinda ? Sampai peringkat ada pihak yang membawanya ke mahkamah dan MP mereka menggunakan isu subjudis untuk halang 355 di bentangkan di parlimen.

9. Mereka persoal kenapa lebai PAS tidak bangun bantah keputusan Yang Di Pertua Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan 355 ini tempohari. Bukan kah PAS yang bawa 355 ini ke parlimen ? Buat himpunan, solat hajat dan sebagainya supaya berjaya di parlimen. Apabila YDP Dewan Rakyat tangguh, kenapa PAS tidak bantah ?

10. Perhatikan jawapan saya baik – baik. Saya tidak bangun bantah keputusan YDP Dewan Rakyat yang menangguhkan perbahasan kerana saya bersetuju dengan keputusan YDP Dewan Rakyat menangguhkannya. Malah saya sifatkan keputusan YDP Dewan Rakyat itu adalah bijak dan berhikmah.

11. Kalau saya jadi YDP Dewan Rakyat (fardhu takdir), dengan melihat gelagat dan aksi sebahagian ahli parlimen yang meremehkan Dewan dan YDPnya sejak sehari sebelum pembentangan usul pindaan Akta 355, sehinggalah ke detik ianya mahu dibentang oleh YB Tuan Guru pada 6 April 2017, maka keputusan menangguhkan perbahasan itu adalah suatu yang terbaik.

12. Keputusan menangguhkan itu adalah terbaik malah selayaknya mereka berterima kasih kepada YDP Dewan Rakyat menangguhkan 355 ini, kerana bukankah mereka sememangnya mahu menghalang sejak dari awal lagi.

13. Sekali lagi, keputusan menangguhkan itu adalah terbaik, justeru PAS masih mempunyai banyak lagi masa untuk terus memberi kefahaman kepada ahli parlimen, pemimpin politik dan pelbagai pihak suoaya mereka memahami kenapa Akta 355 ini perlu dipinda.

14. Akhirnya, anda temui jawapan kepada persoalan ini. Apa hikmah menangguh ? Kenapa mereka marah Isu 355 ini ditangguh ? sedang mereka bukan bersetuju dengan 355 ini.

15. Jawapannya :

a) Hikmahnya bila tangguh, PAS terus bekerja gigih memgangkat isu 355 ini dan memahamkan masyarakat mengenainya. Ia baik untuk kefahaman Islam.

b) Mereka marah kerana hasrat mereka untuk menggagalkan Pindaan Akta 355 melalui undi menolak dalam belah bahagian sebagaimana yang dirancang oleh mereka tertangguh lagi.