Saya Cuba Elak Laku Sesuatu Bertentangan Ajaran Agama - Ani Mayuni


WALAUPUN kebanyakan artis wanita seusianya sudah terpaksa membuat pelbagai rawatan wajah bagi mengekalkan keremajaan penampilan mereka, namun Ani Mayuni, 38, belum terfikir untuk mengikuti jejak langkah mereka.

Ani atau nama penuhnya Aishah An Nur Osman, berkata beliau tidak berani melakukan perkara sedemikian kerana ia perbuatan yang dilarang oleh agama Islam.

“Saya cuba mengelak daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama.

“Saya tidak berani untuk membuat suntikan Botox atau pembedahan wajah semata-mata untuk kelihatan cantik.

“Saya rasa, wajah saya sekarang sudah pun cukup cantik. Saya juga tidak mahu wajah saya menjadi sama dengan orang lain,” katanya.

Kata penyanyi dangdut itu lagi, beliau lebih selesa menjaga kulit wajah dengan mengamalkan pengambilan makanan tambahan dan jamu buatan sendiri.

Sementara itu, sepanjang Ramadan ini Ani bakal bergandingan dengan Kelly Azman untuk membuat persembahan di Hotel Royal di ibu kota.

Ani berkata, dia akan menyanyikan lagu-lagu bersesuaian dengan bulan suci itu menghiburkan tetamu selepas berbuka puasa di hotel berkenaan. – Kedahnews.com