Saya Tak Tolak Memorandum, Cuma Enggan Berurusan Dengan Mahfuz


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah mengecam keras kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang memutar belitkan cerita kononnya beliau melarikan diri dari penduduk kampung yang hadir ke Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk menyerahkan memorandum padanya.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan, beliau tidak menolak mana-mana memorandum yang mahu diserahkan kepadanya, sebaliknya hanya enggan berurusan dengan Mahfuz yang bertindak tidak sopan dengan menyerbu ke arahnya secara mengejut di dalam Dewan.

"Saya tidak menolak mana mana memorandum yang diserahkan kepada saya dan untuk makluman memorandum  berkenaan sampai ke tangan saya pada hari berkenaan.

"Bagi saya, Mahfuz tak perlu menggunakan kepakaran beliau memutar belit cerita dengan menuduh saya lari dari penduduk kampung sedangkan saya cuma tidak mahu berurusan dengan beliau yang yang masuk cara kurang sopan, menyerbu saya secara mengejut di dalam Dewan," tegas Ahmad Bashah kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Kata Menteri Besar itu, beberapa Adun Pembangkang turut berurusan mengemukakan permasalahan rakyat di kawasan mereka kepada beliau pada hari yang sama namun mereka dilayan dengan baik.

"Apa masalahnya nak menyerahkan memorandum, ada beberapa orang wakil rakyat pembangkang berurusan dengan saya mengenai permasalahan di kawasan mereka pada hari yang sama tanpa sekatan.

"Saya tidak halau mereka malah kami sempat berbincang mengenai beberapa perkara," ujar beliau.


Tegas Ahmad Bashah lagi, Dun Bukit Pinang mempunyai wakil rakyatnya sendiri di peringkat negeri iaiti Romaini Wan Salin yang sepatutnya lebih wajar membawa isu berkenaan kepadanya dan bukan oleh Mahfuz yang merupakan seorang Ahli Parlimen.

Kata beliau, tindak-tanduk Mahfuz itu amat memalukan ahli politik di negeri ini kerana budaya politik yang dibawa Mahfuz ke sidang Dun tempohari tidak diamalkan di sini.

"Tidak pernah ada mana mana wakil rakyat di Kedah buat perangai macam Mahfuz, kerana cara ini bukan kebiasaan di negeri Kedah.

"Antara wakil rakyat terutama musuh politik tradisi UMNO dan PAS kami tidak bermusuh, kami cuma berbeza ideologi politik. Saya nak beritahu Mahfuz  kami di Kedah tidak macam itu," kata beliau menyelar perilaku Mahfuz.

Jelas Ahmad Bashah lagi, adalah pihak Kerajaan Negeri hari ini cukup baik untuk menerima memorandum dan meraikan pihak yang menyuarakan bantahan tersebut dengan baik berbanding kerajaan yang Pakatan Harapan yang hanya menerima memorandum di luar pintu pagar pejabat kerajaan.


Semalam, Mahfuz mendakwa Ahmad Bashah sebagai tidak sopan kerana "melarikan diri" dari bertemu rakyat yang berhasrat mahu bertemu dengan beliau bagi menyerahkan memorandum bantahan berhubung dua projek melibatkan Permodalan Kedah Berhad sejuru selepas sidang Dun ditangguhkan pada 10 April lalu.

Berikut di bawah adalah kenyataan penuh Ahmad Bashah berhubung putar belit Mahfuz yang diterima Kedahnews.com, hari ini. - Kedahnews.com
1. Berhubung isu tindakan kurang sopan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar selepas Sidang DUN ditangguhkan tempoh hari, saya tidak menolak mana mana memorandum yang diserahkan kepada saya dan untuk makluman memorandum  berkenaan sampai ke tangan saya pada hari berkenaan.

2. Bagi saya Mahfuz tak perlu menggunakan kepakaran beliau memutar belit cerita dengan menuduh saya lari dari penduduk kampung sedangkan saya cuma tidak mahu berurusan dengan beliau yang yang masuk cara kurang sopan, menyerbu saya secara mengejut di dalam Dewan.

3. Saya sudah hantar pegawai saya untuk menerima memorandum berkenaan dan saya diberitahu mereka enggan menyerahkannya kepada pegawai berkenaan kerana menunggu Mahfuz yang tanpa disangka sangka bertindak demikian.

4. Apa masalahnya nak menyerahkan memorandum, ada beberapa orang wakil rakyat pembangkang berurusan dengan saya mengenai permasalahan di kawasan mereka pada hari yang sama tanpa sekatan. Saya tidak halau mereka malah kami sempat berbincang mengenai beberapa perkara.

5. Mereka jumpa saya dengan cara profesional dan hormat menghormati bukan macam Mahfuz yang semata mata mencari populariti sedangkan DUN Bukit Pinang pun ada wakil rakyatnya daripada PAS iaitu YB Wan Romaini.... jadi apa masalah  Mahfuz.

6. Tidak pernah ada mana mana wakil rakyat di Kedah buat perangai macam Mahfuz, kerana cara ini bukan kebiasaan di negeri Kedah. Antara wakil rakyat terutama musuh politik tradisi UMNO dan PAS kami tidak bermusuh, kami cuma berbeza ideologi politik. Saya nak beritahu Mahfuz  kami di Kedah tidak macam itu.

7. Saya juga tidak lari dari rakyat, cuma saya tidak berurusan dengan cara Mahfuz. Waktu kami BN menjadi pembangkang juga kami tidak hantar memorandum cara itu, kalaupun ada, hanya wakil menteri besar daripada kerajaan pembangkang yang tampil untuk terima dan kami tidak melulu macam Mahfuz buat......jadi apa masalahnya, apa masalah Mahfuz. Kita ambil contoh di Selangor, wakil NGO yang juga seorang ketua Bahagian UMNO, Datuk Jamal Nasir nak hantar memorandum hanya setakat di pintu pagar wisma sahaja dan bertemu hanya dengan wakil MB Selangor. Jadi Mahfuz mahu bawa budaya apa, semua orang kenal dia.

Datuk Seri Diraja Ahmad Bashah Md Hanipah,
Menteri Besar Kedah.