Md Sharif melakukan gimik penyerahan kunci kepada keluarga Yusof ketika kunjungan dibuat di rumahnya dekat Kampung Baru Paya Mengkuang. |
SUNGAI PETANI - Menumpang bilik air surau selama 10 tahun, menjual kereta demi menyara anak melanjutkan pelajaran dan terpaksa berjalan kaki ke tempat kerja antara kepayahan pernah dilalui Yusof Saad, 49.
Dia yang bekerja sebagai pemandu lori gigih berusaha me-majukan diri untuk membesarkan enam anak sehingga tiga daripadanya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Kesusahan yang ditanggung mereka sekeluarga juga terbalas apabila ada pihak yang menyedari serta membantu sehingga kini sudah memiliki sebuah rumah impian tanpa perlu menyewa lagi.
Menurutnya, sepanjang 24 tahun melayari perkahwinan bersama Mariam Ahmad, 44, mereka sudah beberapa kali berpindah randah.
“Kami sekeluarga pernah menumpang bilik air surau yang terletak bersebelahan selama 10 tahun kerana rumah sewa kami tiada kemudahan itu.
“Apabila anak nak sambung belajar, saya pernah jualkan kereta untuk bayar yuran pengajian, walaupun tak banyak tapi itu sahaja yang saya mampu lakukan.
“Disebabkan itu juga, saya terpaksa berjalan kaki kira-kira satu kilometer untuk ke tempat kerja selama berbulan-bulan,” katanya.
Menurutnya, pekerjaan sebagai pemandu lori mengangkut buah kelapa sawit penuh cabaran bergantung kepada permintaan dan juga keadaan cuaca, sekiranya panas terik, kerja-kerja mengangkut berjalan lancar, namun apabila hujan, pendapatan agak terjejas.
Pendapatan yang diperoleh RM1,500 sebulan digunakan sebaiknya bagi menyara enam anak sementara isteri tidak bekerja.
Jelas Yusof, berkat kesabaran dalam mengutamakan pendidikan dan agama kepada anak-anak, dia kini puas dengan kejayaan yang dicapai walaupun perit untuk dikongsi.
Anak pertama, kini sedang menyambung pengajian di peringkat Master, anak kedua baru sahaja selesai belajar di Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) dan ketiga belajar di Akademi Binaan Malaysia (ABM).
Seterusnya seorang anak Yusof bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala dua lagi masih di peringkat sekolah rendah.
Februari lalu, Yusof dan keluarga telah mula menetap di rumah baharu mereka di Kampung Baru Paya Mengkuang, Padang Lembu, Gurun yang dibina atas tanah milik keluarga isteri atas persetujuan saudara melalui dana bantuan disumbangkan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Dia juga kini sudah memperbaiki kehidupan ke arah lebih baik dan berjanji akan terus berusaha bagi membahagiakan isteri serta enam anak.
“Alhamdulillah, saya bersyukur teramat sangat kerana impian nak sediakan rumah buat anak-anak tercapai,” katanya.
Sementara itu, Pengurus LZNK Cawangan Kuala Muda, Md Sharif Md Isa berkata, keluarga itu layak menerima bantuan rumah LZNK dan turut melakukan gimik penyerahan kunci ketika kunjungan dibuat.
Orang ramai yang ingin membantu, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Yusof bernombor 1521 2529 7797.
Sumber: Sinar Harian