Selepas Bil Air, Singapura Naikkan Lagi Tarif Elektrik


SINGAPURA – Setelah teruk dikritik kerana bertegas tetap mahu menaikkan kadar bil air, rakyat Singapura sekali lagi dibebankan dengan pengumuman kenaikan tarif elektrik bermula semalam.

Stesen penyiaran milik pemerintah, Channel NewsAsia melaporkan, tarif tenaga itu naik sebanyak 6.1 peratus secara purata bagi tiga bulan akan datang, menurut kenyataan firma utiliti Singapore Power (SP) pada Jumaat.

Ia menyaksikan pemegang akaun kediaman di Singapura akan menanggung tarif elektrik lebih mahal apabila kadarnya naik daripada 20.20 sen, kepada 21.39 sen untuk setiap kWh bermula 1 April hingga 30 Jun depan.

Ini bermakna purata bil elektrik bulanan bagi keluarga yang tinggal di flat awam dengan empat bilik milik agensi perumahan HDB, akan naik sebanyak S$4.21 (RM13.34), dedah jurucakap SP Group kepada stesen tersebut lagi.

“Kenaikan ini kebanyakannya disebabkan oleh kos gas asli bagi penjanaan tenaga elektrik, yang meningkat sebanyak 12 peratus berbanding suku terakhir lalu,” menurutnya. Tarif elektrik di republik itu disemak setiap tiga bulan.

Bil elektrik di Singapura dianggap sebagai antara paling mahal di rantau Asia Tenggara. Tarif paling tinggi pernah direkodkan pada suku pertama 2015 iaitu 23.29 sen manakala sepanjang tahun lalu, kadarnya bawah 20 sen.

SP Group melakukan semakan tarif setiap suku tahun berdasarkan garis panduan ditetapkan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), yang merupakan pengawal selia bagi industri elektrik sebelum diluluskan oleh badan tersebut.

Bulan lalu, Parlimen Singapura mengumumkan bil air dinaikkan 30 peratus sekali gus menyaksikan pengguna domestik perlu bayar S$2.74 (RM8.64) bagi setiap kubik meter atau 1,000 liter air. – Agensi