Serangan Jantung, Ketua Polis Kelantan Meninggal Dunia, Al-Fatihah


KOTA BHARU – Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail meninggal dunia akibat serangan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur petang Ahad.

Allahyarham berusia 59 tahun menghembuskan nafas terakhir jam 3.45 petang di sisi isteri dan anak-anaknya.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan, Superintenden Shaikh Azhar Shaikh Omar ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak kelmarin akibat komplikasi jantung.

“Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Badak, Bachok untuk dikebumikan,” katanya.

Allahyarham mula bertugas sebagai Ketua Polis Kelantan pada 18 Julai 2016 selepas menggantikan Datuk Mazlan Lazim yang kini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Ab. Rahman bertugas sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.

Sumber: Berita Harian