SELEPAS berusaha sedaya-upaya untuk mempertahankan perkahwinannya, akhirnya pelakon Serin Redzuawan menuntut permohonan cerai daripada suaminya, Gavin Edward O’luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar.
Kesahihan berita itu disahkan sendiri itu oleh bapanya sendiri iaitu chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail, atau lebih dikenali sebagai Chef Wan menerusi akaun Instagram miliknya, beberapa jam lalu.
“Anak perempuan saya sedang memfailkan perceraian dan dia akan melalui beberapa prosiding untuk memperjuangkan hak dan keadilan.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu Serina yang memikul sepanjang enam setengah tahun menjalani perkahwinan yang tidak bahagia,” katanya.
Menurut Chef Wan, perkahwinan Serina retak oleh kerana sikap Gavin yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang suami.
Kata Chef Wan lagi, meskipun beliau telah mencuba pelbagai cara termasuklah menasihati lelaki itu terhadap kepentingan memberi nafkah perbelanjaan setiap bulan kepada isteri, namun nasihat itu tidak dihiraukan.
“Dalam mana-mana perkahwinan sekalipun, seorang isteri perlu dimanjakan suami, tetapi sayangnya anak saya bekerja teruk ke sana-sini mencari rezeki dan sebagai seorang ayah, sudah semestinya saya sedih.
“Bekas isteri saya pun menerima RM3,000 sebulan bagi perbelanjaan harian dan saya membelikannya sebuah apartmen.
“Cukuplah. Jika tidak mahu mendengar nasihat bapa mentua, saya rasa, sampai sini sahajalah. Saya percaya, Serina layak mendapat kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.
Chef Wan turut sedih mengenang nasib kedua-dua cucunya, namun percaya perhatian dan kasih sayang dapat memberikan mereka kekuatan.
Sementara itu, Chef Wan berharap kenyataan yang dibuat di Instagram itu melenyapkan spekulasi mengenai keruntuhan rumah tangga anak perempuannya.
“Daripada mendapat spekulasi media yang bukan-bukan, lebih baik saya tampil membuat kenyataan dan menjelaskan perkara sebenar,” katanya sambil menyatakan selepas penjelasan itu, beliau tidak perlu melayan pertanyaan mana-mana pihak berkaitan isu terbabit.
Serina dan Salahudin bernikah pada 1 Januari 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef serta Isabella Saffiya.
Sementara itu, Chef wan turut memuat naik sebauh posting baharu yang memuji semangat anak perempuannya mengharungi kehidupan.
Kata Chef Wan, walaupun beliau sering memanjakan anaknya dengan pemberian barangan mewah seperti beg tangan dan barangan kemas, namun tidak pernah sekali pun wanita itu memintanya apa-apa dan sering menolak sekiranya ditawarkan barangan mahal.
Naluri kebapaan Chef Wan sangat menyentuh hati kami. Dalam saat Serina hilang lelaki yang sepatutnya dijadikan tempat bergantung harap, bapanya datang memberikan kata-kata semangat kepadanya.
Inilah yang dikatakan dalam pepatah Melayu: “Kasih ibu dibawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.”-Kedahnews.com