Shabudin Pertimbang Tindakan Terhadap Media Putar Belit


TASEK GELUGOR – Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya akan mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak akhbar dan wartawan yang didakwa memutar belit kenyataannya berhubung isu perkahwinan perogol dengan mangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan mengkaji dan meneliti beberapa perkara terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut dibuat.

“Kita semua faham dan kita boleh melihat sekiranya kita meneliti kepada hansard ataupun video rakaman ucapan perbahasan saya, dengan apa yang disiarkan pihak akhbar yang dimaksudkan, memang nampak di situ ada yang mengelirukan.

“Macam mana pun, saya akan mengkaji perkara ini (saman) kerana isu ini telah diputarbelitkan sehingga menimbulkan satu polemik yang dahsyat kepada diri saya.

“Malah ia telah memberikan satu gambaran yang tidak sihat kepada masyarakat kita,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Keraian Projek Mesra Rakyat 2017 peringkat negeri Pulau Pinang, di sini semalam.

Pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di Dewan Rakyat, Selasa lalu, Shabudin dilaporkan antara lain mencadangkan perkahwinan di antara mangsa rogol di bawah umur dengan perogolnya mungkin boleh mengubati masalah sosial.

Cadangannya itu telah disalahertikan oleh sesetengah media dan menjadi tular serta menerima kecaman pelbagai pihak.

Shabudin berkata selain menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak, beliau turut mendakwa menerima ugutan yang disifatkannya sebagai tidak bertamadun dan rasional.

Beliau yang juga bekas hakim mahkamah syariah mengulangi hujahnya tidak menyentuh langsung berkenaan rogol secara paksaan dan hanya merujuk kepada kes rogol yang diklasifikasikan oleh undang-undang sebagai rogol statutori iaitu atas persetujuan bersama, yang banyak berlaku dalam realiti masyarakat.

“Jadi kenapa diseleweng fakta begitu sehinggakan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Saya minta wartawan berkenaan bertaubatlah dan jangan buat fitnah. Jadilah wartawan beretika,” katanya.

Terdahulu, Shabudin menyerahkan Projek Rumah Mesra Rakyat, projek tanggungjawab sosial korporat Tenaga Nasional Berhad (TNB), kepada ibu tunggal yang juga orang kurang upaya (OKU), D.Shamburunam, 51, dan anak perempuannya berusia 13 tahun.

Shamburunam yang cacat penglihatan dan anggota kaki berterima kasih kepada TNB dan pihak terlibat yang membaik pulih rumahnya dengan kos RM30,000 dilengkapi dua buah bilik, sebuah ruang tamu, tandas dan ruang dapur. – BERNAMA